suria

Air Selangor Akan Laksana Sistem Baharu Tahun Depan

SHAH ALAM: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melaksanakan Sistem Pengurusan Perhubungan Pelanggan dan Pengebilan baharu bermula 2018, dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang lebih efektif kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman berkata, langkah itu juga merupakan sebahagian inisiatif transformasi digital bagi menambah baik sistem perkhidmatannya kepada lebih dua juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Kami menyedari sistem sedia ada beroperasi dengan sistem legasi propietari tidak bersepadu berusia lebih 10 tahun untuk perhubungan pelanggan, pengebilan dan perkhidmatan berkaitan.

"Dalam usaha memenuhi keperluan dalam talian serta melayani jangkaan pelanggan serta menyediakan standard perkhidmatan tertinggi, kita tidak mempunyai pilihan selain memberi laluan kepada sistem lebih dinamik, teguh dan bertaraf dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Kata Suhaimi, sistem baharu itu juga bakal menawarkan platform bil sehenti selain dilengkapi maklumat tepat mengenai pelanggan, data bil air terperinci, alamat dan nombor telefon bimbit.

Beliau berkata, pengguna juga dapat mengakses pengebilan atas talian dan maklumat perkhidmatan melalui aplikasi telefon pintar dan web.

"Bagi tempoh 12 bulan akan datang, pembersihan data, perkakasan dan konfigurasi perisian, pengurusan rangkaian, integrasi, penghijrahan data serta operasi selari dan percubaan akan dilaksanakan sebelum pelancaran dan pelaksanaan sistem," katanya.  - BERNAMA

Air Selangor, sistem baharu

Artikel Lain