suria

Isu BR1M: Tun M Dicabar Lapor SPRM

SEPANG: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan kepada rakyat sebagai rasuah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melemparkan cabaran itu berkata, berbanding kenyataan terbuka, laporan rasmi kepada SPRM akan membolehkan suruhanjaya itu membuka kertas siasatan, menangkap dan mendakwa penerima bantuan berkenaan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata dalam kes rasuah, pemberi dan penerima merupakan mereka yang berada di pihak yang salah dan boleh dikenakan hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang.

"Pada saya apa juga pemberian kerajaan untuk membantu rakyat tidak boleh dianggap rasuah dan atas sebab itulah, saya cabar Dr Mahathir kemukakan laporan rasmi kepada SPRM, minta mereka lakukan siasatan.

"Saya bagi contoh, Tabika Kemas, jika tidak ada bantuan kerajaan, ibu bapa perlu membayar sekurang-kurangnya RM200 untuk seorang murid, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberi wang tunai kepada Orang Kurang Upaya, warga emas dan golongan sasar... adakah ini juga dikira rasuah?" katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau keadaan di Tabika Kemas Sri Siantan di sini, hari ini bersempena hari pertama sesi persekolahan 2017, Ismail Sabri berkata tindakan Dr Mahathir itu tidak lebih daripada sekadar melepaskan rasa sakit hati terhadap kerajaan, khususnya UMNO yang dianggap gagal memberikan tempat kepada anaknya bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhkriz.

Mengenai dakwaan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bahawa jemaah yang menunaikan ibadah haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai tidak mabrur, beliau berkata Dr Mahathir tidak berhak menentukan perkara tersebut.

"Dalam hal ini, saya rasa Dr Mahathir tidak ada hak, malah bukan sahaja Dr Mahathir, mufti atau sesiapa sahaja tidak boleh untuk menentukan haji seseorang itu mabrur atau sebagainya kerana setiap ibadah, pahalanya ditentukan oleh Allah SWT," katanya.

Dakwaan tersebut dibuat Dr Mahathir sewaktu berceramah di Taman Wira Mergong di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain