suria

Peniaga Rantau Panjang Teruskan Operasi Dalam Banjir

Hasmadi melayan pelanggan di gerainya yang dinaiki air di Rantau Panjang. -fotoBERNAMA

PASIR MAS: Seorang peniaga gerai makan di Gual Tinggi, Rantau Panjang di sini, tetap meneruskan perniagaannya meskipun gerainya dimasuki air sedalam kira-kira 0.2 meter.

Hasmadi Faiza Mohamad, 41, berkata beliau mendapat rezeki tambahan apabila ramai yang mengunjungi gerainya berikutan orang dari luar Rantau Panjang datang ke kawasan berkenaan kerana ingin melihat keadaan banjir.

Beliau berkata ketika mula membuka gerainya pada 7 pagi tadi, air masih menggenangi kawasan belakang gerainya.



"Namun selepas sejam berniaga, air mula masuk ke dalam kedai kerana hujan yang semakin lebat.

"Saya kini sedang menghabiskan makanan yang dijual sambil mengemas kedai.

Jika keadaan berlarutan saya akan tutup kedai," kata peniaga wanita itu kepada pemberita ketika ditemui di gerainya di sini, Selasa.

Hasmadi Faiza mula berniaga di kawasan berkenaan sejak lima tahun lepas dengan menjual pelbagai juadah seperti nasi berlauk, nasi ulam dan kuih-muih serta turut dibantu dua pekerjanya.

Beliau berkata ini merupakan kali kedua gerainya dinaiki air selepas banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014.

"Selalu kalau banjir biasa air hanya menggenangi kawasan belakang gerai sahaja, tapi kali ini air dari parit berdekatan melimpah sehingga masuk ke dalam kedai," katanya.

Rantau Panjang, Banjir

Artikel Berikut

Artikel Lain