suria

Polis Buka Kertas Siasatan Aksi Ngeri Remaja Panjat Kren

IPOH: Polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang remaja yang melakukan aksi ngeri dengan memanjat kren setinggi kira-kira 30 meter di satu tapak pembinaan di sini beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan. 

"Setakat ini polis masih menyiasat untuk mengenal pasti identiti lelaki berkenaan kerana hasil siasatan mendapati dia bukan dari kumpulan yang memanjat huruf-huruf besar yang membentuk perkataan 'IPOH' di Jalan Kuala Kangsar di sini. 

"Polis menyeru kepada lelaki berkenaan supaya tampil menyerah diri bagi membantu siasatan," katanya.

Chang Keong bercakap kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas beberapa Ketua Polis Balai iaitu Balai Polis Sentral, Balai Polis Tambun dan Balai Polis Kampung Simee di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Daerah Ipoh di sini, Selasa.

Chang Keong berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu daripada pengawal keselamatan di tapak pembinaan bangunan Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) Isnin.

Beliau berkata pengadu menerima mesej daripada seorang pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Polis akan melakukan rondaan di tapak projek berkenaan supaya kejadian seperti itu tidak berulang," katanya.

Remaja berkenaan yang memanjat kren di tapak pembinaan syarikat Sycal Ventures Bhd merakam sendiri aksi ngerinya dengan memasang kamera, dipercayai 'GoPro' di badannya. 

Dalam perkembangan lain, Sum berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes sekumpulan lapan individu memanjat huruf-huruf besar yang membentuk perkataan 'IPOH', sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata jika ada keperluan, pihaknya akan memanggil semula mereka yang terlibat, lima lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun, untuk memberi keterangan. 

Katanya hasil siasatan mendapati semua individu berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tiga daripadanya adalah pelajar. 

Rakaman perbuatan mereka itu menjadi viral mulai minggu lalu. 

Antara lain, rakaman memaparkan perbuatan berbaring di dalam buaian pada kerangka yang menampung huruf-huruf besar itu pada ketinggian melebihi 20 meter.
-- Bernama 


kren, Ipoh, Sum Chang Keong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain