suria

Persaraan Awal Pengarah SPRM Tiada Kaitan Kes SRC

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan persaraan awal bekas pegawai kanannya, Datuk Bahri Mohammad Zin mempunyai kaitan dengan siasatan ke atas bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kenyataan SPRM pada Selasa, badan itu mengesahkan persaraan Bahri berlaku atas pilihannya selepas permohonannya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) enam bulan lalu telah diluluskan.

"Berhubung kenyataan di sebuah portal media hari ini bahawa Datuk Bahri memilih bersara awal kerana kecewa kes siasatan SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah, SPRM telah menghubungi beliau dan Datuk Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada portal tersebut," demikian menurut kenyataan itu.

Bahri yang memegang jawatan Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) sejak 16 Jun 2014 bersara berkuat-kuasa 30 Disember lalu.

Beliau sepatutnya bersara pada 2018.

BOK ditubuhkan pada 2010 untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan kes berprofil tinggi, terutama membabitkan rasuah bernilai lebih RM1 juta.

Bahri memainkan peranan penting menyiasat kes SRC yang melibatkan dana RM42 juta.

SPRM, Bahri Mohamad Zin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain