suria

Buruh Indonesia Ditemukan Mati Dikelar

GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU: Seorang buruh binaan warga Indonesia dijumpai mati dengan kesan kelar di lehernya di sebuah rumah di Taman Sri Austin, Bandar Dato' Onn, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata mangsa yang dikenali sebagai Haryanto itu ditemui dalam keadaan tertiarap oleh rakan sekerjanya kira-kira 1 tengah hari.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 26 tahun itu pada ketika itu sedang menjalankan kerja pengubahsuaian seorang diri di hadapan rumah berkenaan.

"Kita juga telah menahan dua rakan sekerja mangsa berusia lingkungan 20-an yang juga buruh binaan di kawasan berhampiran bagi membantu polis menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata sebatang spatula simen yang berlumuran darah turut dijumpai di tempat kejadian, dipercayai digunakan untuk mengelar leher mangsa.

"Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan ketika ini polis sedang cuba menghubungi pihak majikan kepada pekerja untuk mendapat keterangan," kata Sulaiman.

Beliau berkata kedua-dua suspek tersebut akan direman manakala mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Buruh Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain