suria

Dua Lelaki Ditahan Polis Miliki Dadah Bernilai RM10,000

MARANG: Dua lelaki ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM10,000 dan sebuah motosikal curi di sebuah bengkel kenderaan haram di Kampung Gong Merawang, dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Suhaimi Ali berkata, dalam kejadian pukul 11 malam itu dua lelaki berkenaan masing-masing berumur 22 tahun dan 28 tahun itu ditemui sedang menyorok di belakang pintu dan penjuru bengkel tersebut ketika serbuan dijalankan.

"Hasil serbuan itu polis menemui satu peket plastik berisi hablur lutsinar disyaki syabu berat 50.04 gram, 80 biji pil Eramin 5 seberat 21.97 gram, 40 biji pil yaba dan dua peket syabu seberat 1.91 gram," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Suhaimi berkata kedua-dua suspek positif dadah methamphetamine dan salah seorang suspek yang berumur 28 tahun turut mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori," katanya.

Sementara itu, Polis Marang juga berjaya menahan tiga suspek lelaki berumur dalam lingkungan 18 tahun hingga 24 tahun di Paka, semalam dalam tempoh kurang lima jam selepas menyamun seorang wanita.

Mohd Suhaimi berkata dalam kejadian pukul 8 pagi itu, seorang wanita berumur 23 tahun dikatakan disamun di hadapan kedai memproses ayam milik majikannya di Merchang.

"Mangsa pada mulanya didatangi dua lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi berwarna putih ketika sedang menunggu majikannya datang untuk memulakan perniagaan pada pukul 7.30 pagi.

Mereka beredar tidak lama kemudian namun datang semula ke tempat itu pada pukul 8 pagi. Salah seorang suspek kemudian keluar dari kereta dan menyamun barangan milik mangsa termasuk wang tunai RM180 dan sebuah telefon bimbit selepas mengancam mangsa menggunakan sebilah parang sepanjang dua kaki.

"Suspek kemudian melarikan diri ke arah Dungun walaubagaimana pun kedua-dua mereka berjaya ditangkap pihak polis di Paka pada pukul 12.45 tengah hari pada hasil maklumat yang diberikan mangsa," katanya.

"Manakala suspek ketiga, dipercayai pembeli telefon bimbit mangsa turut ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kes samun itu," katanya.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan berkaitan samun bersenjata.

"Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan dikenakan sebatan," katanya. - BERNAMA

Dadah, Samun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain