suria

Pengasingan Tempat Duduk Untuk Keselamatan - Syarikat Bas

PETALING JAYA: Pengasingan penumpang lelaki dan wanita dalam bas kendalian TransMalaya Ekspres bukanlah disebabkan faktor agama.

Pemilik bersama KRZ Management Sdn Bhd, Amir Khairul Amri Budiman Khairuddin berkata, syarikat itu hanya mengutamakan keselesaan dan keselamatan penumpang wanita  yang sebelum terdapat aduan gangguan seksual daripada mereka.

"Kami melaksanakan polisi ini sejak Februari lalu, selepas menerima aduan daripada pelanggan kami.

"Adalah wajar bagi kita untuk menyesuaikan diri dengan dasar ini dan kami telah terima maklum balas positif setakat ini bagi melaksanakan langkah itu," katanya kepada The Star Online, Rabu.

Walau bagaimanapun, Amir mengakui bahawa terdapat kritikan terhadap syarikatnya, kerana didakwa meminta bukti perkahwinan jika pasangan mahu duduk bersama-sama.

Bekas pemandu bas berusia 31 tahun itu berkata, kakitangan kaunter tiket tidak pernah membuat permintaan tersebut daripada pelanggan.

"Kami hanya akan mencadangkan tempat duduk penumpang, namun tidak ada masalah jika seorang penumpang wanita mahu duduk dengan seorang teman lelaki, sama ada suami, saudara atau sepupu mereka.

"Tidak ada tindakan meminta untuk menunjukkan bukti perkahwinan. Bagi saya, itu tidak masuk akal," katanya.

Amir berkata walaupun timbul persepsi negatif ke atas syarikat  untuk melaksanakan dasar itu, ia tidak akan menjejaskan operasi mereka yang mana 90 peratus daripada pelanggan mereka adalah pelajar perempuan.

"Laluan bas kami melalui institusi dan universiti awam yang sebahagian besarnya dikuasai oleh pelajar perempuan.

"Sebagai contoh, baru-baru ini ketika cuti perayaan Krismas, 44 kerusi di dalam bas kami diduduki oleh 42 penumpang wanita dan dua lelaki.

"Itulah sebab mengapa dasar kami mengutamakan keselesaan dan keselamatan wanita," jelas beliau.

Di dalam bas mereka, wanita akan duduk di sebelah kanan, manakala lelaki di sebelah kiri.

Amir berkata, dengan keadaan itu pemandu yang duduk di hadapan akan dapat memeriksa mereka dengan melihat cermin pandang belakang.

Amir berkata syarikat itu menyasarkan untuk mengembangkan perkhidmatannya dari dua buah bas kepada enam buah bas pada tahun depan.

Perkhidmatahn yang berpangkalan di Pahang kini meliputi laluan Jerantut-Jengka-Temerloh-Kuantan-Kemaman-Paka-Dungun-Kuala Terengganu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain