suria

Tiada Istilah 'Sesal' Bagi Militan IS Malaysia

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
KUALA LUMPUR: Tiada keinginan untuk pulang ke pangkuan keluarga, militan Malaysia di Iraq dan Syria masih memilih untuk kekal di sana walaupun kubu kuat kumpulan militan Negara Islam (IS) di Mosul dan Dabiq semakin lemah.

Terdapat seramai kira-kira 60 rakyat Malaysia yang menyertai IS telah berjuang untuk kumpulan itu di Iraq dan Syria.

Sumber perisikan mendedahkan bahawa mereka telah memilih untuk terus berada di sana, walaupun IS terpaksa berundur kerana serangan berterusan oleh tentera bersekutu.

"Tidak seperti kumpulan militan Eropah, pejuang Malaysia berakar umbi dengan IS. Tidak ada tanda-tanda bahawa mereka akan pulang.

"Malah, lebih ramai rakyat Malaysia di sel-sel IS telah menyatakan hasrat mereka untuk pergi ke Iraq dan Syria," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay kepadaThe Star.


Beliau memberi contoh kes militan Amirul Ahmad Rahim, 26, yang pergi ke Syria pada 16 Oktober 2014, tetapi telah terbunuh dalam serangan bom bunuh diri pada 2 Januari tahun ini.

"Daripada memilih untuk pulang ke rumah, balunya Lidia Izhar telah berkahwin semula di sana. Menurut ibunya, dia berkahwin dengan seorang pejuang Mesir," katanya.

Menurut Ayob, pejuang Malaysia juga masih aktif dalam sayap IS berbahasa Melayu, Katibah Nusantara, yang terdiri daripada sekumpulan pejuang IS dari Indonesia dan Malaysia. Kumpulan ini ditubuhkan pada akhir 2014.

"Enam rakyat Malaysia telah menyertai Katibah tetapi dua daripada mereka telah terbunuh semasa menentang tentera Syria," katanya.

Ahli-ahli yang masih hidup adalah Mohd Faizal Abdullah, 33, Zainuri Kamaruddin, 49, Ahmad Asyraf Arbee Ahmad Jamal Arbee, 30, dan Muhammad Qamarul Asyraf Ismail yang berusia sembilan tahun.

Ayob berkata militan Mohd Rafi Udin, Zainuri Kamaruddin dan Mohamad Wanndy Mohamad Jedi khususnya, telah diketahui mengeluarkan arahan kepada sel-sel IS di Malaysia.

Walaupun para pejuang masih berada di negara-negara yang dilanda perang, Ayob berkata agensi perisikan percaya bahawa sel-sel IS di Asia Tenggara kini menjadi lebih teratur.

"Terdapat lebih banyak kumpulan dan sel-sel pengganas melafazkan ikrar setia mereka kepada kumpulan pengganas itu di Filipina, selatan Thailand, Indonesia dan juga di negara kita.

"Kumpulan-kumpulan ini dibiayai. Sel di Jakarta yang merancang untuk mengebom Kedutaan Myanmar memiliki bahan letupan yang lebih kuat daripada yang digunakan dalam pengeboman di Bali.

"Risikan juga menunjukkan bahawa sel itu bertindak di bawah arahan militan dikenali sebagai Bahrun Naim," katanya.

Terdapat juga kemunculan kumpulan gabungan IS di selatan Filipina seperti Maute, yang baru-baru ini telah diserang oleh tentera Filipina, menyebabkan kebimbangan Sabah akan menjadi sasaran, sebagai kesan sampingannya.

"Jika mereka berjaya, ia mungkin serangan menyelinap berskala kecil," kata Ayob.

Walaupun adanya pelbagai cabaran itu, Ayob berkata, pihaknya telah menggagalkan sekurang-kurangnya 14 serangan pengganas yang dirancang di Malaysia.

Sejak tahun 2013, 260 militan telah menjalani hukuman penjara.

Artikel Sebelum

Mengenali Sultan Muhammad V

Artikel Berikut

Artikel Lain