suria

Pembinaan Jambatan Tinggi Dalam Projek RTS Johor Baru-Singapura Dimuktamad Tahun Depan: PM

Najib berjabat tangan dengan Hsien Loong selepas sidang media bersama sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ketujuh di Bangunan Perdana Putra pada Selasa. fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Pembinaan jambatan tinggi yang menghubungkan Malaysia dan Singapura di bawah projek Sistem Transit Pantas (RTS) Johor Baru-Singapura, merupakan antara perkara penting yang dicapai pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ketujuh di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jambatan berkenaan dan  RTS, yang akan menambah baik hubungan dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk sempadan, akan dimuktamadkan oleh kedua-dua negara pada akhir tahun depan.

Beliau berkata penyelesaian tersebut merupakan antara perkara yang dibincangkan pemimpin kedua-dua negara.

"Kami berpendapat ia adalah penyelesaian yang paling kos efektif, sebab itulah kita memikirkan tentang penyelesaian jambatan tinggi untuk mengintegrasikannya dengan sistem transit aliran massa Singapura.

"Pada tahun depan, kita akan dapat memuktamadkannya," kata beliau pada sidang akhbar bersama selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dua hala bagi projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di sini Selasa.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong turut hadir pada sidang akhbar itu.

Dalam satu kenyataan bersama, pemimpin-pemimpin itu menyambut baik kemajuan yang dicapai dalam projek RTS Johor Bahru-Singapura di bawah Transportation Links Work Group dan mengesahkan bidang utama perjanjian yang dicapai setakat ini. - BERNAMA


pembinaan jambatan tinggi, RTS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain