suria

Pemilik Restoran Baring Bawah Kereta Disiasat

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemilik restoran berusia 60 tahun yang secara tiba-tiba berbaring di bawah keretanya bagi menghalang pegawai majlis perbandaran menunda kenderaan itu kini sedang disiasat kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Pegawai Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) dan beberapa anggota polis trafik terpaksa menarik dia keluar dari bawah kereta jenis Mercedes Benz itu di Jalan Danby di sini pada Khamis.

Dalam laporan polis, pegawai MPSP berkata mereka ternampak sebuah kereta diletakkan di tempat parkir motosikal di hadapan restoran lelaki berkenaan pada kira-kira pukul 11.30 pagi.

Mereka berkata salah seorang pegawai meniup wisel amaran sebanyak tiga kali dan kemudiannya bertindak mengunci tayar kenderaan itu apabila tidak ada tindak balas daripada pemilik kenderaan.

Beberapa minit kemudian pemilik restoran itu muncul dalam keadaan marah dan berkata dia tidak mahu membayar kompaun supaya kunci pada tayar keretanya dibuka.

"Dia diberitahu bahawa keretanya akan ditunda ke pejabat MPSP di Jalan Betik tetapi dia masih enggan membayar. Pegawai itu kemudiannya memanggil sebuah trak tunda pada pukul 2.40 petang.

"Lelaki itu kemudian bertindak menyelinap dan baring di bawah keretanya untuk menghalang daripada ditunda. Dia dipaksa dikeluarkan oleh polis dan dibawa ke Balai Polis Bukit Mertajam," kata mereka dalam laporan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, polis dan MPSP cuba untuk menasihati lelaki berkenaan supaya keluar namun dia enggan berbuat demikian.

"Beberapa saksi berkata lelaki berkenaan berkelakuan kurang ajar dengan pegawai-pegawai MPSP dan menghalang mereka daripada menjalankan tugas mereka," katanya.

Pemilik restoran telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri untuk tindakan lanjut.

MPSP

Artikel Sebelum

Artikel Lain