suria

Laporan Teknikal Pembinaan DASH, SUKE Diserah Kepada MTES

SHAH ALAM: Satu laporan teknikal akan diserahkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) berhubung cadangan mengambil tanah di dua hutan simpan bagi pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong berkata laporan itu mengandungi penjelasan lengkap  beberapa agensi kerajaan bagi membolehkan MTES membuat satu keputusan tepat berhubung kedua-dua hutan simpan terlibat dalam pembinaan lebuh raya berkenaan.

"Antara agensi terlibat dalam laporan ini adalah Jabatan Perhutanan Selangor, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta Institut Kajian Perhutanan Malaysia.

"Keputusan mengenai perkara ini akan diketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi bantahan awam berhubung pembinaan dua lebuh raya tersebut, di sini Isnin.

Turut hadir pada sesi berkenaan ialah wakil Persatuan Penduduk Bukit Segar, Cheras, Kuala Lumpur dan badan bukan kerajaan (NGO), Say No To SUKE.

Wong berkata walaupun kerajaan negeri mengutamakan penambahbaikan pengangkutan awam sebagai langkah mengurangkan kesesakan jalan raya, pembinaan lebuh raya tetap akan dipertimbangkan sekiranya memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

Dalam notis penyiasatan awam dikeluarkan pada 16 Mac lepas, kerajaan negeri bercadang mengambil kira-kira 3.2 hektar tanah dari Hutan Simpan Bukit Cherakah bagi pembinaan DASH, dan kira-kira 29.6 hektar tanah dari Hutan Simpan Bukit Sungai Puteh Utara dan Selatan untuk pembinaan SUKE.

Cadangan tersebut menimbulkan bantahan pelbagai pihak yang khuatir pembinaan lebuh raya berkenaan akan menjejaskan kedua-dua hutan simpan itu yang merupakan kawasan tadahan hujan. - BERNAMA

MTES, DASH, SUKE

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain