suria

Polis Kesan Individu Terbabit Kes Lelaki Dipukul

Noor Rashid Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan beberapa individu bagi membantu siasatan insiden seorang lelaki cedera dipukul kerana dikatakan menghina ahli perniagaan yang mati ditembak Khamis lalu di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata berdasarkan klip video yang tersebar di laman sosial, lebih daripada seorang terlibat dalam kejadian itu.

"Semestinya akan ada lagi tangkapan yang akan dilakukan kerana kumpulan terbabit sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pasukan Simpanan Persekutuan ke-61 di Cheras di sini Isnin.

Noor Rashid berkata pihaknya akan menyiasat kejadian pukul yang dilaporkan berlaku pada Jumaat itu secara menyeluruh, termasuk elemen gangsterisme.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah sebelum ini berkata mangsa berusia 47 tahun itu mengalami kecederaan lebam, bengkak dan luka di mata kanan, pipi, hidung, bahagian belakang badan serta kedua-dua belah tangan.

Dalam kejadian 7.15 malam pada Khamis, tiga lelaki termasuk ahli perniagaan Datuk Ong Teik Kwong maut manakala lima yang lain cedera akibat ditembak seorang lelaki yang dilapor mempunyai masalah mental. - BERNAMA


PDRM, kes lelaki dipukul

Artikel Sebelum

Artikel Lain