suria

Putuskan Hubungan Diplomatik Dengan Myanmar - Tun M

SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan kerajaan Malaysia untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar sebagai bantahan terhadap penindasan etnik minoriti Islam Rohingya di negara itu.

"Cadangan saya adalah (Malaysia) perlu memutuskan hubungan diplomatik bagi menyatakan rasa tidak puas hati dengan cara etnik Rohingya dilayan," kata beliau pada sidang media selepas persidangan DAP peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Ideal di sini, Ahad.

Tun Mahathir turut mendedahkan, beliau pernah menulis surat dan menghantar wakil bertemu dengan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi ketika pemenang anugerah Nobel Keamanan itu ditahan oleh kerajaan junta.

"Saya bertemu dengan seorang jeneral Myanmar pada ketika itu dan membawa beliau ke sini (Malaysia) untuk menunjukkan bagaimana demokrasi berfungsi.

"Itu yang perlu dilakukan oleh kerajaan kerana pada peringkat itu, kita tidak perlu mengadakan tunjuk perasaan di jalanan," katanya sambil menambah tindakan beliau menyertai demonstrasi jalanan kerana tidak lagi berada dalam kerajaan.

Sementara itu, pemimpin pembangkan termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu mendakwa mereka tidak dijemput menghadiri Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada Ahad.

Menurut Mohamad Sabu, Parti Amanah tidak menghalang ahlinya menyertai perhimpunan tersebut, tidak seperti parti lain yang menghalang ahli mereka menyertai perhimpunan Bersih 5 baru-baru ini.

Mahathir Mohamad, Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Lain