suria

Kerajaan Kelantan Digesa Had Lesen Pertanian Elak Banjir Besar

MACHANG: UMNO Kelantan mendesak kerajaan negeri supaya mengehadkan pengeluaran lesen pertanian terutama di Gua Musang bagi mengelak banjir besar berulang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata penebangan hutan dilakukan secara berleluasa untuk tujuan pertanian boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah seperti Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Kota Bharu dan Gua Musang.

"Pembalakan menyebabkan kawasan bukit akan menjadi gondol dan mempercepatkan pengaliran air ke sungai-sungai termasuk ke Sungai Kelantan yang boleh menyebabkan banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Beramai-Ramai peringkat Parlimen Machang di Hospital Machang di sini, pada Ahad.

Seramai 90 murid dari 29 sekolah rendah di jajahan itu menyertai majlis berkhatan berkenaan yang diadakan dengan kerjasama Hospital Machang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Machang.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata kerajaan negeri boleh memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan jika mereka bimbang hasil negeri berkurangan akibat pengurangan aktiviti pertanian.

"Saya yakin kerajaan Persekutuan boleh menimbang permohonan kerajaan negeri jika mereka gunakan alasan banjir," katanya.

Ditanya mengenai nasib Orang Asli di Gua Musang yang bertindak mengadakan sekatan di beberapa laluan pembalakan, Ahmad Jazlan yang juga anggota Parlimen Machang berkata kerajaan negeri perlu menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

Katanya kerajaan negeri perlu segera mewartakan kawasan yang didiami oleh Orang Asli sebagai tanah adat dan kawasan tanah rayau mereka bagi mengelak perkara sama berulang pada masa depan. - BERNAMA

Kelantan, Banjir

Artikel Lain