suria

Keadaan Banjir Di Perak, Kelantan, Terengganu Tidak Berubah

Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh memindahkan mangsa banjir dari Kg Tok Kundur, Bukit Awang ke Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja Bukit Yong, Jumaat. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir yang melanda Perak, Kelantan dan Terengganu tidak berubah setakat tengah hari Ahad.

Di IPOH, jumlah mangsa banjir di Perak kekal 88 orang di dua pusat pemindahan sementara setakat tengah hari ini, menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak.

Menurutnya, seramai 38 penduduk melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Pengkalan Ara dekat Sungai Manik yang terjejas banjir berada di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara.

Selain itu, 50 penduduk daripada 13 keluarga dari Kampung Padang Serai dipindahkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Padang Serai.

"Keadaan di pusat pemindahan Pengkalan Ara terkawal dan tiada penambahan mangsa manakala keadaan cuaca baik dan paras air masih setinggi satu meter.

"Sementara itu, air banjir di Kampung Padang Serai bergerak surut pada jam 6.15 pagi tadi hingga 12.55 tengah hari dengan ketinggian 0.5 meter," katanya.

Beliau berkata kebanyakan mangsa keluar bekerja seperti biasa dan ada yang pulang ke rumah masing-masing untuk melihat keadaan rumah dan membersihkannya.

Banjir yang berlaku di kedua-dua kawasan berikutan hujan berterusan yang menyebabkan air bertakung.

Di KOTA BHARU, mangsa banjir di Kelantan kekal 75 orang tengah hari ini, menurut portal rasmi kerajaan Kelantan.


Menurut portal http://ebanjir.kelantan.gov.my, seramai 29 mangsa daripada tujuh keluarga di Kampung Tiong di sini, masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong.

Selain itu, 26 mangsa masih berada di SK Wakaf Raja, Pasir Puteh dan 19 mangsa, masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat dan SMK Beris Panchor, Bachok.

Paras air sungai Kelantan pada 12 tengah hari tadi di beberapa tempat masih berada pada tahap normal.

Di KUALA TERENGGANU, mangsa banjir di pusat pemindahan Balairaya Kampung Cacar Baru dekat Paka di Dungun belum boleh pulang ke kediaman masing-masing disebabkan kawasan persekitaran rumah mereka masih ditenggelami air.

Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Rusmi Mahmood berkata walaupun cuaca cerah dan semakin baik di daerah Dungun, banjir akibat takungan air hujan di rumah mangsa masih belum surut sepenuhnya.

"Ketika ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumah lima keluarga tersebut agar air boleh disalirkan dengan lancar.

"Kerja pembersihan oleh JPS dijangka selesai menjelang petang ini dan kesemua 20 mangsa banjir itu akan dibenarkan pulang setelah rumah mereka benar-benar selamat untuk diduduki," katanya kepada Bernama.


Setakat pukul 12.30 tengah hari ini, kesemua 20 mangsa terdiri daripada enam kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan dan masing-masing lima lelaki dewasa dan perempuan dewasa masih berada di pusat pemindahan itu.

Artikel Lain