suria

Najib Sedih ‘Hilang’ Kawan - Jamal

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno menyampaikan ucapan pada Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra, Selasa.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rasa sedih kerana ‘kehilangan’ rakan seperjuangan dalam Umno susulan masalah dalaman yang dihadapi parti itu sejak setahun lalu.

Menurut Presiden Umno itu, beliau tidak menerima sokongan dan bantuan daripada individu-individu berkenaan ketika parti dan kerajaan berhadapan masalah.

“Taklimat kali ini lain daripada biasa. Presiden luahkan perasaan isi hati yang beliau pendam selama ini.

“Luahannya ialah berkenaan rakan-rakan yang dahulunya beliau sokong termasuk Tun Dr Mahathir (Mohamad), namun apabila beliau berhadapan keadaan yang sukar, tidak ada siapa yang membantu dan menyokong beliau,” kata Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di sini, Selasa.

Pada 24 Jun lalu, Majlis Tertinggi Umno memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan timbalan presiden Umno pada ketika itu kerana bertindak mengkritik kepimpinan parti.

Susulan itu pada 4 Julai, bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal yang digantung keahlian kerana isu yang sama mengumumkan pendirian untuk meninggalkan Umno.

Bagaimanapun menurut Jamal, Najib turut melahirkan kelegaan apabila musuh yang selama ini menyerangnya dari dalam Umno sudah disingkirkan daripada parti.

“Alhamdulillah persidangan tahun ini lebih aman. Beliau lebih ceria kerana gunting dalam lipatan dan duri dalam daging sudah tidak ada dalam Umno.

“Sangat jelas apa yang presiden ucapkan hari ini ialah luahan daripada hati yang selama ini tersekat-sekat untuk dinyatakan. 

"Sekarang apabila orang yang nak disebut itu berada luar Umno, lebih senang untuk beliau nyatakan apa yang berlaku,” katanya.


Najib, Umno, Taklimat Presiden

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain