suria

Sistem M-BIKE Bermula Rabu

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memerhatikan penggunaan sistem M-BIKE di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Iskandar pada 19 Oktober 2016. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sistem Kawalan Sempadan Automatik atau dikenali sebagai M-BIKE akan dikuatkuasa di kedua-dua pintu keluar masuk Malaysia-Singapura, khusus bagi penunggang dan pembonceng motosikal warganegara Malaysia berdaftar, mulai Rabu ini (30 November).

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan pada Isnin berkata, kedua-dua pintu keluar masuk itu adalah di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru.

"Melalui sistem ini, pemeriksaan dokumen perjalanan melalui pintu masuk Malaysia-Singapura akan dilaksanakan secara automatik.

"Pemeriksaan dokumen akan mengambil masa lapan hingga 10 saat sahaja bagi setiap individu dengan 100 laluan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI dan 50 laluan di CIQ KSAB," katanya.

Sistem itu merupakan inisiatif terbaharu kerajaan Malaysia untuk menambahbaik kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta situasi trafik di CIQ BSI dan KSAB.

Katanya pengguna motosikal disaran untuk mendaftar segera di Pusat Sehenti (OSC) yang beroperasi 24 jam setiap hari di CIQ BSI dan KSAB bagi memastikan mereka dapat menggunakan kemudahan itu apabila sistem berkenaan mula dikuatkuasa.

Menurut kenyataan itu, syarat pendaftaran M-BIKE adalah secara percuma kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan memiliki pasport Malaysia antarabangsa yang sah dengan tempoh laku minima enam bulan.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.mbike.my atau menghubungi di talian 07-2182400 (24 jam). - BERNAMA

M-BIKE, Malaysia, Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain