suria

Isu Rohingya Perlu Ditangani Secara Komprehensif - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Asean perlu bekerjasama untuk menyelesaikan kemelut melibatkan etnik Rohingya di Myanmar dengan segera dan secara komprehensif, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Beliau berkata Asean perlu mencari pendekatan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan dan bukan menyatakan bantahan berhubung apa yang dipercayai berlaku semata-mata.

"Secara peribadi pada dua minggu lepas saya ada minta diadakan mesyuarat bilateral sempena Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dengan Menteri Pertahanan Myanmar bagi membincangkan nasib dan kedudukan masyarakat Rohingya di sana.

"Saya telah ingatkan beliau bahawa isu ini adalah (bersifat) serantau dan jika tidak ditangani kita bimbang (kewujudan) 'hot spot' tertentu...yang dilihat sebagai kawasan yang diperhati pengganas Daesh," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program 'Kuala Lumpur International Youth Discourse' pada Sabtu.

Malaysia mengecam kejadian keganasan yang semakin berleluasa sejak beberapa bulan di utara Rakhine, Myanmar, menurut kenyataan Kementerian Luar pada Jumaat.

Kuala Lumpur juga menggesa kerajaan Myanmar mengambil tindakan kukuh bagi menangani isu penghapusan etnik yang didakwa berlaku di utara Rakhine.

Hishammuddin bimbang jika tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah itu, masyarakat Rohingya mungkin memilih menyertai kumpulan pengganas seperti Daesh.

Dalam ucapannya, Hishammuddin berkata Malaysia perlu memperhebatkan usaha dalam menangani kumpulan pengganas. Langkah berkenaan katanya, termasuk tindak balas pemesejan, mencegah perangkaian kewangan secara sulit, penyahradikalan suspek pelampau dan memantau gerakan merekrut anggota yang berpotensi.

Beliau berkata Malaysia telah mewujudkan pusat penyahradikalan dalam usaha bertindak balas terhadap usaha dan ideologi yang menyokong keganasan dan radikalisme dalam Islam. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain