suria

Kami Bukan Pengganas - Etnik Rohingya

IPOH: "Kami bukan pengganas", itu luahan seorang etnik Rohingya mengenai nasib malang yang menimpa saudara mara dan umat Islam lain di Rakhine, Myanmar.  

Nojemollah Mir Ahamad, 19, berkata pihak berkuasa Myanmar sengaja melabel etnik minoriti itu sebagai pengganas bagi menutup pencabulan hak asasi manusia serta pembunuhan masyarakat Islam Rohingya yang dilakukan.

"Mereka kata kami pengganas sedangkan kami tiada senjata, pisau besar untuk potong ikan pun kami tidak dibenarkan simpan di rumah," katanya pada majlis kutipan Tabung Kecemasan Rohingya di sini pada Sabtu.  

Nojemollah dari daerah Maungdaw, Rakhine tidak dapat menahan tangisan apabila memberitahu bapa serta seorang adik lelakinya mati dibunuh pihak berkuasa hujung bulan lalu.

"Ayah dan adik saya ditembak mati pada 26 Oktober lalu, tapi saya hanya tahu pada 1 November lepas... sekarang tidak tahu mahu buat apa setiap masa fikir keluarga di sana," katanya yang mempunyai emak dan lima lagi adik beradik di Maungdaw.

Pemuda yang telah lebih setahun berada di Malaysia dan kini bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar di sini juga sedih kerana keganasan menyebabkan banyak masjid dan al-Quran dibakar, manakala kaum wanita menjadi mangsa rogol.

Bagi Md Roshid Lalu Miya, 25, walaupun tahu nasib malang keluarganya di kampung halaman, tiada apa yang mampu dilakukan selain daripada berdoa. 

Dia yang telah empat tahun di Malaysia berkata keluarganya tidak terlepas daripada menjadi mangsa keganasan apabila kaki bapanya dipotong manakala kepala adiknya dicederakan tanpa belas kasihan bulan lalu. 

"Kalau bunuh mereka terus sudah tentu tidak perlu lagi tanggung sengsara dan kesakitan," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rohingya di Malaysia cawangan Perak, Mohd Hassan Huson berkata pihaknya mengambil inisiatif mewujudkan Tabung Bantuan Kecemasan untuk disalurkan kepada etnik Rohingya di Myanmar. 

Beliau berkata sebanyak RM50,000 disasarkan untuk dikutip daripada kira-kira 5,000 etnik Rohingya yang ada di Perak dan sumbangan itu akan disalurkan dengan bantuan sebuah syarikat media tempatan di Myanmar. -Bernama

Rohinya, bukan pengganas

Artikel Sebelum

Artikel Lain