suria

PWTC Mulai Sibuk Menjelang PAU 2016

Petugas melakukan persiapan sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 ketika tinjauan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Suasana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai sibuk menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 yang bermula Selasa ini.

Pihak terlibat termasuk kontraktor yang menyediakan kelengkapan di PWTC, pempamer dan pengusaha gerai jualan bertungkus lumus membuat persiapan masing-masing.

Agensi media juga tidak ketinggalan mempersiapkan ruang kerja di Laman Media yang disediakan untuk petugas media membuat liputan sepanjang perhimpunan itu.




Pelbagai program sempena perhimpunan agung itu juga telah bermula di PWTC pada Sabtu termasuk Persidangan Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD2016) di Dewan Tun Hussein Onn yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata semua persiapan berjalan lancar dengan 80 peratus persediaan telah dilengkapkan.

"Semuanya berjalan rapi di semua tempat termasuk tempat-tempat mesyuarat dan persidangan. Kontraktor dan penyelia sedang berusaha menyiapkan kesemuanya sebelum 29 November ini," katanya kepada Bernama selepas jamuan tengah hari bersama Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) di PWTC di sini, Sabtu.

Sejumlah 1,193 petugas media daripada 48 agensi termasuk tiga agensi antarabangsa akan membuat liputan pada perhimpunan kali ini.    

Gerai-gerai jualan akan mula beroperasi Isnin ini di Dewan Tun Razak 3,manakala pameran akan diadakan di ruang legar Putra, Aras 2. 

Persidangan Agung Umno 2016 berlangsung selama lima hari bermula Selasa ini. -Bernama

PWTC, PAU, 2016

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain