suria

Kerajaan Sedia Tambah Lagi Projek RMR1M - Najib

Najib Tun Abdul Razak (kanan) melawat Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) milik Sharil Mohd Sharif, 34, (dua, kanan) bersama isteri Juliana Janggi, 33, serta dua anaknya Muhammad Shahmi Sharil, 7 dan Safiah Amani Sharil, 3, sebelum melancarkan RMR1M 2016: 10,000 Hasrat Sejuta Impian anjuran Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Rancangan Tanah Belia (RTB) Kampung Bukit Canggang, Khamis.

KUALA LANGAT: Kerajaan bersedia untuk tambah lagi projek pembinaan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) pada tahun depan bagi membolehkan lebih ramai golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Komitmen itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau melancarkan RMR1M-10,000 Hasrat Satu Impian di Rancangan Tanah Belia (RTB) Kampung Bukit Changgang di sini, Jumaat.   

Perdana menteri berkata sebelum ini melalui Bajet 2017, beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan akan membina 5,000 unit RMR1M pada tahun depan.    

"Saya beritahu pengerusi SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) kerajaan sanggup tambah lagi rumah ini (RMR1M) sebab kita dapati sambutan pada program ini sangat menggalakkan dan ramai yang memohon untuk dipertimbangkan supaya dapat miliki rumah sendiri," katanya kepada pemberita.

Turut hadir ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi SPNB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.    

Mengulas lanjut, Najib berkata program RMR1M yang dilaksanakan oleh SPNB begitu popular dan hari ini sahaja sebanyak 10,000 unit rumah di bawah program itu telah dilancarkan.   

"Sejak program ini mula dilancarkan pada 2002, kira-kira 36,000 unit rumah telah dibina di mana bagi setiap unit kerajaan beri subsidi langsung sebanyak RM20,000 dan subsidi pembiayaan kira-kira RM11,000.   

"Maknanya bagi setiap unit rumah bernilai RM65,000, RM31,000 merupakan subsidi kerajaan," katanya.   

Tambah beliau, syarat untuk memohon RMR1M ialah seseorang individu itu perlu memiliki tanah.   

Mengenai bayaran bulanan, perdana menteri berkata sebelum ini, penerima manfaat di bawah program RMR1M perlu membayar RM150 sebulan tetapi sejak skim perumahan itu diubah suai pada 2015, mereka perlu membayar RM230 sebulan namun dengan kadar faedah yang sangat rendah.

"Dalam masa 25 tahun penerima manfaat di bawah program RMR1M akan menjadipemilik rumah sepenuhnya selepas bayaran pinjaman mereka selesai," katanya.  

Najib dalam pada itu berkata, selain memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, RMR1M turut memberi keuntungan kepada kontraktor Bumiputera Kelas F, pembekal bahan-bahan binaan dan firma guaman.   

Terdahulu, pada majlis itu, perdana menteri turut beramah mesra denganpenduduk RTB Kampung Bukit Changgang dan melawat kediaman dua pemilik RMR1M di kampung berkenaan.   

Pemilik rumah berkenaan terdiri daripada Sharil Mohd Sharif yang merupakan seorang penternak berpendapatan isi rumah RM1,900 sebulan dan Haizum Mohd Rudin, seorang pembantu tadbir sekolah dengan pendapatan isi rumah RM2,822 sebulan.   -Bernama

RMR1M, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Lain