suria

MBSA Nafi Terima Arahan Tarik Balik Laporan Polis

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan pihaknya diarahkan menarik balik laporan polis berhubung kekasaran dilakukan sepasang suami isteri terhadap anggota penguatkuasanya yang menjalankan tugas di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh pada Khamis.

Menurut laporan Sinar Harian,  kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp mengatakan MBSA atas arahan kerajaan negeri, diminta mengarahkan anggota penguatkuasanya menarik balik laporan polis yang dibuat dan sebagai kakitangan kerajaan negeri, mereka wajib mematuhi arahan tersebut atau tindakan tatatertib dikenakan.

Namun perkara tersebut dinafikan oleh Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad dalam satu kenyataan pada Khamis.

"Setakat ini, tiada makluman sedemikian yang dikeluarkan kepada MBSA,"katanya.

Shahrin berkata, insiden kekasaran fizikal ke atas anggota penguatkuasanya sudah dilaporkan kepada polis, malah sudah dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

"Perlakuan seperti itu ternyata mengganggu dan menghalang tugas-tugas seorang penjawat awam.

"Ia merupakan sebahagian daripada cabaran penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, namun tidak akan melemahkan komitmen dan semangat warga kerja MBSA," katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku menjadikan warga MBSA lebih berdedikasi dan cekap dalam melaksanakan tugasan pada masa akan datang.

Katanya, MBSA akan sentiasa menjadi pihak berkuasa tempatan yang mengamalkan dan berpegang teguh kepada konsep integriti, amanah, telus serta sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang cekap kepada orang ramai.

"Kita ucapkan syabas kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) kerana dapat menyelesaikan isu ini dalam tempoh singkat, malah berterima kasih dengan maklum balas positif yang diterima daripada masyarakat berhubung isu ini," katanya.

Pada Jumaat,  Lor Ka Hoo, 35, dan isterinya, Tan Sit Fun, 30, dipenjara 14 hari oleh mahkamah majistret Shah Alam selepas mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang tugas seorang anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Majistret P.Sarulatha mengarahkan tertuduh membayar denda RM3,000 setiap seorang dan jika gagal, tertuduh diarahkan penjara tujuh hari.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan pasangan ini dibenarkan ikat jamin RM2,000 seorang.

MBSA, Nafi

Artikel Lain