suria

Skuter Bantu Jemaah Bermasalah Kaki

ASSALAMUALAIKUM. Umat Islam di Malaysia mula membanjiri kota Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadat umrah, apatah lagi menjelang musim cuti sekolah tidak lama lagi.

Kehadiran Disember menyebabkan ramai yang merebut peluang untuk bercuti melancong ke destinasi tempatan dan luar negara.

Mengerjakan ibadat umrah dengan membawa anak-anak semakin bertambah dan cukup memberangsangkan. Sebahagian besar mahu memanfaatkan cuti persekolahan penggal ketiga untuk bersama-sama keluarga dan tersayang.

Oleh sebab musim cuti yang panjang, Makkah terutamanya menjadi padat, lebih-lebih lagi ketika tawaf dan saie. Justeru, kadangkala ini boleh menimbulkan masalah dan kesesakan ketika menyempurnakan rukun umrah.

Justeru, pelbagai kemudahan yang disediakan di Tanah Suci wajar sekali dimanfaatkan dan digunakan oleh jemaah umrah, terutama jika mendapati diri kurang mampu dan memerlukan bantuan serta sokongan.

Pengalaman membawa jemaah menaiki skuter berwarna hijau di lantai mezanine di dalam Masjidil Haram ingin saya kongsikan dengan pembaca sekalian. Jika bukan anda yang mahu memanfaatkannya, mungkin ibu bapa atau mereka yang kurang berupaya dapat dibantu menerusi kemudahan itu.

Setelah menyempurnakan ibadat haji, sebahagian besar jemaah merebut peluang untuk menunaikan umrah. Begitu juga dengan saya dan rakan jemaah yang lain. Namun, ada di kalangan jemaah ketika itu mula kurang sihat dan sakit kaki tetapi semangat untuk beribadat begitu kuat.

Justeru, mereka mahu menggunakan khidmat skuter di masjid bagi mengatasi kekurangan itu. Menyedari permasalahan dialami jemaah, saya juga mahu bersama-sama menemani mereka.

Seronok juga jika dapat melalui pengalaman itu sendiri. Tidaklah saya sekadar mendengar pengalaman dilalui mereka. Saya berjanji dengan jemaah agar berkumpul di lobi hotel pada jam 9.30 malam untuk bersama-sama menunaikan rukun umrah setelah menikmati hidangan malam. Justeru, kami berkumpul seperti dijanjikan.

Sepuluh orang semuanya. Sembilan perempuan dan seorang lelaki, iaitu Haji Bakri. Kami bergambar seketika di lobi hotel penginpapan sebelum bergerak ke Masjidil Haram secara berkumpulan. Tiba di perkarangan Masjidil Haram, kami berjalan terus ke arah lantai mezanine untuk menyewa skuter.

Saya juga kali pertama mahu menaiki skuter. Biarpun sihat dan kaki belum terasa sakit, Alhamdulillah, saya mahu melalui pengalaman menaiki skuter. Tiba di lantai mezzanine, kami menuju ke ruang pengendalian sewaan skuter.

“Ana, kita mesti ke tempat yang ada skuter. Bayar dulu barulah kunci diberi untuk kita bawa skuter,” ujar kak Rosny.

“Baiklah kak. Terima kasih…” balas saya sambil berjalan menuju ke tempat yang dimaksudkan. Alhamdulillah, ada antara jemaah yang pernah melalui pengalaman menaiki skuter dan mereka berkongsi pengalaman itu.

Tiba di situ, kami beratur membayar kadar sewa skuter dan mendapatkan kuncinya. Hanya ada satu kaunter pembayaran dan Alhamdulillah tidak ramai jemaah ketika itu.

Saya dan kak Azah berkongsi skuter. Begitu juga beberapa jemaah lain kecuali kak Arfah dan kak Bibi yang sudahpun mengambil skuter masing-masing.

Skuter ada dua jenis iaitu untuk seorang dan berdua. Untuk tawaf dan saie jemaah dikenakan bayaran SR100 seorang manakala SR50 untuk tawaf. Terpulang kepada anda untuk memanfaatkannya. Saya dan jemaah lain menggunakan khidmat skuter untuk tawaf dan saie.

“Macam mana nak bawa ni?” tanya saya melontarkan soalan kepada jemaah.

“Ana tekan saja pemegang di sebelah kanan dan kawal sendiri. Mudah saja. Jika hendak brek, tekan saja pemegang itu perlahan-lahan,” ujar kak Rosny.

“Oh ok. Senang saja,” ujar saya pula.

Beberapa jemaah sudahpun berlalu meninggalkan saya dan kak Azah kerana saya perlu mengambil dan merakamkan gambar terlebih dulu sebelum mula bertawaf.

“Kak nak bawa ke?” tanya saya ringkas.

“Ana bawalah. Kak tak reti nak bawa ni,” ujar kak Azah tersenyum.

Kak Azah batuk teruk dan sakit tekak sehingga suaranya tidak kedengaran, sesekali saja tenggelam timbul dan sukar difahami.

Melihatkan keadaannya, saya membawa skuter berwarna hijau itu. Mulanya tidak begitu yakin kerana tidak pernah membawa motor di tanah air kerana terus membawa kereta. Jadi sedikit sebanyak perasaan bimbang itu masih ada.

Saya tertawa kecil sejurus memulakan tunggangan dan kak Azah turut ketawa.

“Kekok pulak nak bawa skuter ni sebab di Kuala Lumpur tak pernah bawa motor,” ujar saya pada kak Azah.

“Ana boleh bawa. Kak tak bolehlah, bimbang juga,” tutur kak Azah tersenyum.

Sejurus skuter bergerak, saya tidak teragak-agak untuk terus menunggangnya. Kak Azah hanya melihat dan membaca buku panduan doa di tangannya. Saya faham keadaannya dan simpati pada beliau yang kehilangan suara akibat batuk berpanjangan.

Tiba di garisan tawaf, saya memberhentikan skuter dan beristilam sebelum meneruskan perjalanan pusingan tawaf. Begitulah sehingga lengkap tujuh pusingan. Sepanjang bertawaf, saya berzikir dan berdoa. Tidak sampai setengah jam , saya dan kak Azah selesai tawaf menggunakan skuter.

Saya turut memerhati jemaah lain. Mereka yang sudah selesai bertawaf lebih awal daripada saya dan kak Azah bersolat sunat tawaf. Seorang demi seorang selesai tawaf dan kami berkumpul pula untuk minum air zamzam di tong berhampiran.

Selesai minum air zamzam, kami bergerak pula ke tempat saie yang lengang dan dingin di paras yang sama. Serba selesa dan hanya kelihatan tidak sampai 10 orang di kawasan berkenaan.

“Eh mana Safa dan yang mana Marwah?” tanya saya sendirian.

Sukar menjangka ketika itu kerana seakan-akan sama, apatah lagi tiada bukti dan papan tanda kecil agak mengelirukan. Akhirnya saya bertanya pekerja di Masjidil Haram. Beliau menunjukkan arah Safa dan Marwah. Saya lebih yakin setelah mendengar penerangan dua pekerja di masjid berkenaan.

Justeru, kami memulakan saie. Oleh sebab tidak ramai orang, pergerakan skuter begitu lancar. Hanya 20 minit kami selesai bersaie. Selepas itu, kami menunggu jemaah yang masih bersaie di bahagian belakang Marwah.

Seorang demi seorang bertahalul. Akhirnya setelah semua berkumpul semula, kami menghantar skuter yang ditunggang ke tempat asal. Malam semakin larut tetapi di dalam masjid terang benderang walaupun di paras mezanine kehadiran jemaah boleh dihitung.

Setelah memulangkan semula skuter, kami bergambar kenangan berlatar Kaabah. Semua tampak gembira. Tidak pula saya terdengar keluhan penat atau sakit kaki. Hakikatnya, memang selesa menunggang skuter kerana tidak memenatkan.

Tidak sampai satu jam, rukun umrah iaitu tawaf, saie dan tahalul dapat diselesaikan. Ruang tawaf dan saie begitu selesa dan memudahkan jemaah untuk menunggang skuter. Ada juga jemaah yang menunaikan tawaf sunat dan tawaf wada’ dengan menunggang skuter.

Menurut pendakwah bebas tanah air, Ustaz Nur Zamir Zakaria, menunggang skuter ketika tawaf dan saie hukumnya harus kerana Rasulullah S.A.W juga pernah menunggang unta sewaktu tawaf di Baitullah.

Hakikatnya, menaiki skuter dapat membantu mereka yang kurang bertenaga, warga tua, orang kurang upaya, wanita hamil, keluarga yang membawa anak kecil dan mereka yang bermasalah lutut serta kaki.

Selain rukun umrah dapat disempurnakan dengan cepat, khidmat skuter tidak memenatkan kerana jemaah bertawaf dan bersaie di tempat serba selesa dan berhawa dingin tetapi kepuasan tidak dinikmati secara total kerana jauh dari Kaabah ketika tawaf dan kaki tidak menginjak dataran Kaabah.

InsyaAllah bersambung minggu depan.
skuter, Makkah, jemaah

Artikel Lain