suria

Mahkamah Rayuan Tolak Rayuan KPN, Ismail Sabri Batalkan Saman Nurul Izzah

Nurul Izzah Anwar
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu menolak rayuan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membatalkan saman fitnah difailkan terhadap mereka oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan kes saman itu perlu diteruskan untuk perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara membuat keputusan yang betul dalam menjalankan budi bicaranya apabila menolak untuk membatalkan saman itu.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Khalid dan Ismail Sabri mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Jun lepas yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman fitnah itu.

Nurul Izzah, yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, memfailkan saman itu selepas mendakwa Khalid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya pada sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman pada 22 Nov, tahun lepas.

Beliau turut mendakwa Ismail Sabri telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya pada hari sama dalam satu acara di Bera, Pahang.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah berkata kenyataan itu dibuat oleh Khalid dan Ismail Sabri beberapa hari selepas tersiarnya gambar beliau bersama-sama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalulail Kiram.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah mendakwa perkataan fitnah itu antara lain, menggambarkan beliau terlibat dalam dalang insiden pencerobohan Sulu di Sabah pada 2013.

Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Mei hingga 11 Mei tahun depan untuk perbicaraan.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke yang mewakili Khalid dan Ismail Sabri memberitahu pemberita bahawa Jabatan Peguam Negara akan mempertimbangkan sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam R. Sivarasa dan Shahid Adli Kamarudin mewakili Nurul Izzah.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain