suria

Keluarga Terkejut Mayat Bapa Dituntut Orang Lain

Anak perempuang Meng Tuck tidak dapat menahan sebak di atas kematian bapanya.

GEORGE TOWN: Sebuah keluarga terkejut apabila mayat bapa mereka yang maut dalam kemalangan bukan sahaja 'hilang' dari rumah mayat tetapi disemadikan oleh 'orang lain'.

Fong Meng Tuck, 60, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya kira-kira pukul 2 pagi di Jalan Maccallum, kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Mayat Meng Tuck dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat sebelum ahli keluarga mangsa dibenarkan untuk menuntut mayat bagi tujuan upacara pengebumian.

Namun, salah seorang anak mangsa, Edward Fong berkata ahli keluarga terkejut apabila dimaklumkan mayat bapa mereka dituntut oleh 'orang lain'.

"Kami pergi ke bilik mayat Hospital Pulau Pinang pada pukul 2 petang Isnin. Selepas menandatangani 'borang pelepasan mayat' hospital memberitahu kami bahawa mayat bapa saya tiada di bilik tersebut.

"Selepas menunggu kira-kira sejam, ahli keluarga individu lain yang maut dan mayatnya juga berada di bilik itu memberitahu kami bahawa keluarga mereka tersilap menuntut mayat bapa saya dan upacara pembakaran sudah dilakukan," kata ahli perniagaan berusia 28 tahun ketika dihubungi pada Selasa.

Edward berkata ia mengejutkan keluarga mereka kerana mereka bukan sahaja kehilangan bapa tercinta tetapi tidak berpeluang memberikan penghormatan terakhir kepadanya.

"Bapa saya seorang lelaki yang sihat. Kami tidak menduga untuk kehilangannya secepat ini. Sejak dia meninggalkan kami, kami hanya mahu mengadakan upacara pengebumian yang baik untuknya. Tetapi sekarang apa yang kami ada hanya sebahagian abu mayatnya.

"Dan persoalan sekarang, bagaimana kita boleh mengesahkan bahawa abu mayat ini adalah kepunyaan bapa saya?," katanya.

Beliau turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan ahli keluarganya mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Edward berkata hospital telah menemui ahli keluarga untuk mengambil sampel darah untuk ujian DNA.

Rakan keluarga, Jason Khor, yang juga seorang peguam berkata, keluarga mangsa masih menunggu penjelasan bertulis dari hospital dan Kementerian Kesihatan.

"Saya harap hospital boleh mempercepatkan kes ini supaya keluarga mangsa dapat meneruskan upacara pengebumian," katanya.

Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Pulau Pinang (HPP) Lim Thoon Deong yang bertindak sebagai orang tengah antara pihak pengurusan hospital dan keluarga Meng Tuck berkata beliau dimaklumkan bahawa kakitangan hospital didakwa mencampurkan mayat mangsa dengan mayat reput milik, Ho Swee Kim.

"Kejadian ini berlaku kerana kakitangan tidak mematuhi prosedur operasi standard bagi tuntutan mayat dan didakwa meluluskan tuntutan mayat Meng Tuck untuk tujuan pengebumian tanpa mengesahkan identiti mayat," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kakitangan hospital yang terlibat dalam insiden itu sudah digantung tugas kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perkhidmatan Perubatan Forensik.

"Siasatan telah dijalankan dan tindakan disiplin yang tegas akan diambil terhadap kakitangan terlibat.

"Kementerian telah mengarahkan semua hospital untuk meningkatkan SOP mereka bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," kata Dr Noor Hisham.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain