suria

Bajet 2017 Lulus, PM Mahu Kementerian Rancang Peruntukan Dengan Teliti

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2017 selepas pembentangan Bajet 2017 di Parlimen pada Oktober lalu.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap kementerian memastikan perancangan terperinci disediakan bagi peruntukan dalam Bajet 2017 yang diluluskan Selasa malam.

Perdana menteri berkata, ini kerana kerajaan bertanggungjawab memastikan segala program diluluskan sampai kepada rakyat agar pelaksanaannya berkesan dan mencapai matlamat berdasarkan peruntukan diberikan dalam Rang Undang-undang Perbekalan 2017.

"Alhamdulillah, Rang Undang-undang Perbekalan 2017 atau Bajet 2017 telah pun diluluskan di Dewan Rakyat. 

"Saya ingin setiap kementerian pastikan perancangan terperinci telah tersedia bagi peruntukan yang diberikan," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebook dan Twitter beliau, Rabu.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 menerusi undian belah bahagian dengan 105 Anggota Parlimen menyokong, 73 tidak bersetuju dan seorang tidak mengundi (berkecuali), selepas dibahaskan sejak 24 Oktober lepas.

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan rang undang-undang itu pada 21 Okt lepas yang memperuntukkan sejumlah RM260.8 bilion untuk perbelanjaan kerajaan pada 2017. -- Bernama


Najib Tun Razak, Bajet 2017, Parlimen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain