suria

Bersih 5 Berakhir Aman

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bersih 5 di ibu negara yang berakhir di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) melabuhkan tirai tanpa sebarang insiden buruk.

Perhimpunan gergasi baju kuning itu terpaksa ditamatkan 30 minit lebih awal daripada yang dijadualkan susulan hujan lebat kira-kira pukul 5.30 petang.

Kumpulan berkenaan sempat menyanyikan lagu Negaraku sebelum beredar.

Terdahulu kumpulan Bersih 5 menukar haluan dari Masjid Jamek ke KLCC kira-kira pukul 2.30 petang.

Kumpulan yang bergerak dari KLCC itu kemudiannya berkumpul dan duduk di laluan di tengah-tengah persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Yap Kwan Seng.

Turut sama di lokasi berkenaan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ketiga-tiga pemimpin berkenaan sempat menyampaikan ucapan masing-masing sebelum kenderaan pacuan empat roda yang menjadi 'pentas' mereka berucap beredar ke lokasi berhampiran pusat beli-belah AvenueK.

Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyampaikan ucapan di lokasi berkenaan.


Bersih 5, Dr Mahathir Mohamad, KLCC

Artikel Lain