suria

Perhimpunan Bersih 5 Berakhir Tanpa Insiden Besar

KUALA LUMPUR: Kemuncak perhimpunan Bersih 5 yang diadakan di hadapan Menara Berkembar Petronas, KLCC berakhir tanpa sebarang insiden lebih kurang pukul 5.45 petang Sabtu.

Lokasi terakhir perhimpunan itu diakhiri dengan ucapan ahli-ahli politik pembangkang dan aktivis selepas lebih kurang dua jam perhimpunan.

Sebelum berakhir, mereka menyanyikan lagu kebangsaan, 'Negaraku'.

Pada masa yang sama, hujan mulai turun dan ramai kelihatan berebut-berebut mencari tempat perlindungan dan sebahagian daripada mereka sudah bersedia dengan baju hujan dan juga payung.

Perhimpunan yang bermula di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur pada pagi Sabtu itu tetap diteruskan biarpun Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah serta pengurus sekretariat ditahan polis pada petang Jumaat.

Malah lebih sedozen pengikut daripada kumpulan Bersih dan Baju Merah ditahan dalam tempoh 24 jam ketika perhimpunan itu berlangsung.

Pada awal perancangan mereka, pihak penganjur mahu berkumpul di Dataran Merdeka namun tidak dibenarkan pihak polis dan sekatan dibuat ke laluan ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarang penggunaan Dataran Merdeka untuk mengadakan perhimpunan Bersih serta perhimpunan balas oleh pasukan Baju Merah.

Pengikut perhimpunan Bersih yang berkumpul di Bangsar juga tidak dibenar untuk meneruskan perjalanan mereka ke Dataran Merdeka melalui Jalan Travers, dan mereka menggunakan sumber lain seperti menaiki LRT, menggunakan Jalan Tun Sambanthan di Brickfields untuk ke destinasi.

Bagaimana pun, pihak penganjur mengubah rancangan mereka untuk berkumpul di KLCC tanpa sebarang halangan daripada pihak polis.

Sesetengah peserta perhimpunan juga mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota polis yang bertugas sebelum bersurai secara aman.

Bersih 5

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bersih 5 Berakhir Aman

Artikel Lain