suria

Jangan Persoal Tindakan Polis Terhadap Baju Kuning, Merah

Dr S. Subramaniam.

KUALA KANGSAR: Tindakan polis menahan beberapa pemimpin Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah tidak perlu dipersoalkan, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata adalah menjadi tanggungjawab dan hak pihak berkuasa untuk menahan sesiapa sahaja yang dirasakan mampu menggugat keamanan dan keselamatan negara.

"Sistem perundangan di dalam negara memberi hak kepada polis untuk mengambil tindakan perlu bagi memastikan negara kita sentiasa aman dan damai," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan untuk Tabung Pembinaan Kuil Thirusula Maha Mariamman di sini, Sabtu.

Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah merupakan antara 14 individu yang ditahan semalam dan awal pagi ini berkaitan perhimpunan haram yang diadakan di ibu kota pada Sabtu.

Pagi Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lebih ramai individu yang menyertai Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah akan ditahan sebelum didakwa di mahkamah.

Ketika diminta mengulas tindakan polis menyekat video perhimpunan Bersih yang sebelum ini viral di media sosial, Dr Subramaniam berkata ia sangat tepat bagi menghindarkan kegusaran rakyat.

Beliau juga menyeru orang ramai supaya tidak mudah percaya dan menyebarkan sebarang berita, mesej atau video tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu.

"Rakyat perlu buat pengesahan terhadap sebarang mesej atau gambaran yang disebarkan. Kadang-kadang apa yang dihebahkan bertujuan memutarbelitkan pandangan rakyat.

"Justeru, polis serta rakyat perlu sentiasa berwaspada," katanya.

Pada majlis itu, Dr Subramaniam menyampaikan cek bernilai RM1 juta sumbangan kerajaan Persekutuan bagi tabung pembinaan Kuil Thirusula Maha Mariamman di sini.

Turut hadir hadir pada majlis itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid. - BERNAMA




Dr S. Subramaniam, Bersih 5

Artikel Lain