suria

TPPA: Kita Tunggu Dan Lihat - Najib

TOKYO: Malaysia mengambil sikap "tunggu dan lihat" sebelum membuat sebarang keputusan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) berikutan kebimbangan bahawa inisiatif itu tidak akan dilaksanakan susulan pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau berharap Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dapat meyakinkan Trump bahawa TPPA bukan sahaja akan memanfaatkan 11 negara tetapi juga Amerika. 

Abe dijangka bertemu dengan Trump di New York pada Khamis dan beliau merupakan pemimpin dunia yang pertama berbuat demikian.  

"Beliau (Abe) berpendapat bahawa kesemua 11 negara TPPA perlu menghantar mesej kepada bakal presiden itu . Beliau percaya bahawa syarikat korporat di Amerika Syarikat juga mahu perjanjian ini dikuatkuasakan," kata Najib pada akhir lawatan beliau di sini.

"Kita perlu mengambil sikap tunggu dan lihat kerana apa yang beliau kata semasa berkempen bagi pemilihan jawatan presiden mungkin tidak sama seperti apa yang beliau kata semasa menyandang jawatan itu," kata Najib.  

"Saya rasa kita perlu memberi beliau masa untuk mencerminkan apa yang akan menjadi dasar pentadbiran baharunya."

Perdana menteri berkata negara-negara anggota TPPA percaya bahawaperjanjian itu akan menggalakkan perdagangan bebas dan membuka pasaran bagi negara-negara yang menyertainya.

"Jika, sebaliknya, kita berfikiran ke arah fahaman perlindungan, kesannya adalah negatif," kata beliau.

Najib berkata Malaysia perlu bekerjasama dengan presiden baharu untuk mengukuhkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat. -Bernama

TPPA, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Video: Mekanik Parah Ditetak

Artikel Lain