suria

Semua 1,200 Pelajar Malaysia Di Christchurch Selamat - Menteri

Gempa bumi mengakibatkan berlakunya tanah runtuh yang menghalang laluan jalan raya dan landasan keretapi di selatan New Zealand.

PUTRAJAYA: Kesemua 1,200 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di lapan universiti di Christchurch, New Zealand yang dilanda gempa bumi semalam dilaporkan selamat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata Pejabat Education Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di New Zealand telah menghubungi kesemua wakil pelajar yang menuntut di lapan universiti itu selepas kejadian dan mendapati kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

"Education Malaysia di New Zealand telah menasihati pelajar Malaysia agar sentiasa peka dan berjaga-jaga serta mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh Pertahanan Awam New Zealand," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi susulan berukuran 6.5 pada skala Ritcher melanda South Island di New Zealand pada pukul 8.34 pagi Isnin.

Kejadian berlaku di luar pantai timur South Island, 151km Timur Laut dari bandar Christchurch.

Pada Ahad, gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter melanda South Island pada pukul 7.02 malam iaitu 92km timur laut dari bandar Christchurch. -- Bernama

Christchurch, Idris Jusoh, gempa bumi

Artikel Berikut

Khaizad Hashim Ditahan Di Medan

Artikel Lain