suria

Polis Marin Catat Rampasan Cecah RM67.8 Juta

PELABUHAN KLANG: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menyelesaikan 3,641 kes melibatkan nilai rampasan hasil kegiatan penyeludupan mencecah RM67.8 juta sehingga Oktober tahun ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata jumlah itu mencatat peningkatan 43 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, rekod pasukan itu menunjukkan sebanyak 3,028 kes diselesaikan tahun lalu dengan jumlah rampasan sebanyak RM47.3 juta.

"Kegiatan penyeludupan akan sentiasa berlaku dan pasukan ini akan berusaha untuk menyelesaikan kes sebegini. Fokus akan teruskan diberikan kepada usaha membanteras kegiatan penyeludupan.

"Walaupun kekurangan aset, tetapi saya percayakan keupayaan PPM kerana mempunyai kecekapan dalam menjalankan tugas," katanya di Majlis Perasmian Kompleks Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang di sini, Isnin.

Mengenai usaha memerangi jenayah pemerdagangan manusia, kata Jalaluddin, sehingga Oktober 2016, pasukan itu telah berjaya menyelesaikan 46 kes berbanding 43 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Menurut bekas Komander PPM ini, beliau percaya pasukan itu  akan terus berusaha memerangi kegiatan penyeludupan serta mengawal keselamatan perairan negara.

Kompleks Markas Operasi  berkeluasan 12.4 ekar ini dibina bukan sahaja untuk mengawasi kawasan perairan Selangor malahan juga sekitar Melaka dan Johor.

Turut hadir pada majlis itu ialah Komander Pasukan Polis Marin, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rahim Abdullah; Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Muhd Fuad Abd Latiff dan Timbalan Pengarah Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kenteteraman Awam (KDNKA), Deputi Komisioner Datuk Ab. Razak Ab. Ghani.

Artikel Lain