suria

Curi 12 Botol Syampu, Juruhias Dipenjara 12 Bulan

PETALING JAYA: Seorang juruhias kompleks beli belah yang tidak insaf atas kesalahan lampaunya, dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin selepas mengaku bersalah mencuri 12 botol syampu di sebuah pasar raya.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Abdul Khalid Mahmudin, 37, yang mengaku mencuri syampu itu bernilai RM147.60 di Pasaraya Speedmart, Taman Subang Mas, Jalan SM2, Subang Jaya, di sini pada 9 malam, 8 November lalu.

Dia yang sebelum ini disabit beberapa kali atas kesalahan sama, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh dihukum penjara dengan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan tertuduh merupakan kesalahan berulang.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan dia telah menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Di mahkamah sama, seorang tukang cuci warga Bangladesh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba mencabul kehormatan seorang remaja berusia 19 tahun.

Md Shirajul Islam, 45, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjual di pasar malam itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya di kawasan tandas, pasar Downtown Serdang, di sini, pada 10 malam, 29 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

juruhias, syampur, kecurian

Artikel Lain