suria

Pengurup Wang 'Diserbu' Pelanggan Ambil Langkah Selamat

PETALING JAYA: Penurunan ringgit yang dramatik menyebabkan pelanggan bergegas ke premis penukaran wang untuk menjual dan membeli mata wang asing bagi melindungi kedudukan mereka.

Ada yang ingin untuk mengambil kesempatan daripada kadar pertukaran lebih tinggi daripada mata wang asing mereka dengan menukarkannya kepada ringgit, manakala ada juga yang membeli mata wang asing, bimbang susut nilai akan berlanjutan.

Di beberapa cawangan di sekitar Kuala Lumpur, barisan panjang dapat dilihat dari pukul 10 pagi Jumaat, apabila mata wang tempatan turun kepada RM4.37 berbanding dolar AS.

Suri rumah Diana Lau, 46, berkata beliau gembira mendapat ringgit tambahan selepas menukar dolar Amerika yang dimilikinya.

"Saya agak gembira apabila mendapat wang tunai tambahan tetapi pada masa yang sama saya sedih kerana dalam jangka masa panjang, rakyat Malaysia akan menderita. Ini akan memberi kesan kepada perbelanjaan kita dengan kejatuhan nilai ringgit," katanya.

Ahli perniagaan Datuk Narawi Lampong, 63, yang membeli dolar AS dari seorang pengurup wang berkata beliau sedar bahawa beliau telah menanggung kerugian kerana membeli dolar AS apabila ringgit jatuh.

"Saya sedar dolar AS lebih mahal hari ini tetapi apa pilihan yang saya ada? Saya masih perlu ke sana atas urusan perniagaan. Sebab itu saya masih membeli dolar hari ini walaupun ia lebih tinggi daripada semalam (Khamis)," katanya.

Ahli perniagaan yang berpangkalan di Bangkok, Lam Kai Choon, 35, berkata beliau cuba untuk tidak menyimpan ringgit disebabkan ketidakpastian itu.

"Saya akan menukar semuanya apabila saya kembali di Malaysia. Walaupun perniagaan saya di Thailand dan baht masih tidak semahal dolar, saya tidak mahu menanggung sebarang kerugian. Setiap ringgit perlu dikira," katanya.

Beliau, bagaimanapun, percaya bahawa turun naik ini tidak akan terus berlaku.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (PPPWM) Shalini Pavithran berkata mereka tidak menerima laporan tentang pengurup wang yang menghentikan operasi kerana risiko tinggi disebabkan ketidaktentuan pasaran.


"Mereka masih mempunyai kadar berdasarkan apa yang dipaparkan di skrin dan meletakkan harga berdasarkan permintaan dan bekalan. Mereka mempunyai strategi pengurusan risiko mata wang bagi memastikan mereka meletakkan harga dengan betul," kata Shalini.

"Saya pasti mereka sedang memerhatikan apa yang berlaku di pasaran sekarang, untuk melihat cara terbaik untuk mengawalnya."

Beliau berkata beberapa pengurup wang mungkin tidak mempunyai mata wang tertentu dalam simpanan.

"Kami melihat turun naik sebagai sebahagian daripada perniagaan dan perlu memikirkan bagaimana untuk terus menjalankan perniagaan tidak kira bagaimana situasi pasaran," katanya, sambil menambah setiap syarikat mempunyai strategi sendiri.

Di Johor Baru, kejatuhan ringgit menyebabkan ramai bertindak menyimpan mata wang yang lebih stabil seperti dolar Singapura dan Yuan China.

Tinjauan di beberapa pengurup wang di sini mendedahkan bahawa ada yang menjual dolar AS untuk mata wang Singapura.

Seorang pembantu di premis Lambang Canggih Sdn Bhd yang mahu dikenali sebagai Tai berkata terdapat minat ditunjukkan untuk membeli dolar Singapura.

"Oleh kerana mata wang Amerika juga tidak stabil, orang ramai lebih berminat untuk membeli dolar Singapura, kerana mereka merasakan ia adalah pilihan lebih selamat dan mungkin kerana kami dekat dengan Singapura.

"Selain itu, dolar AS terlalu mahal pada kadar pertukaran RM4.40 dan tidak ramai yang mahu menyimpannya," katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Tebrau.

Penjualan dolar AS di Pulau Pinang dilaporkan laris.

Seorang pengurup wang yang enggan dikenali berkata, kira-kira 30 orang telah datang ke premisnya di George Town untuk membeli dolar AS.

Beliau berkata keadaan turun naik pasaran saham global selepas kemenangan Donald Trump pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat menyebabkan spekulator tempatan menjual ringgit mereka.

"Kadar pertukaran tertinggi nilai ringgit hari ini (semalam) adalah pada RM4.52 berbanding dolar AS. Pelanggan saya meramalkan ia boleh naik setinggi RM4.80," katanya.
nilai ringgit, pengurup wang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain