suria

Trauma Kanak-Kanak Mangsa Penderaan Seksual

- Gambar hiasan
PETALING JAYA: Bagi mereka yang menjadi mangsa penderaan seksual ketika berusia muda, kesannya akan kekal sehingga dewasa.

"Sudah 14 tahun ia berlaku. Saya cuba untuk tidak berfikir tentang hal itu," kata Alex (bukan nama sebenar), yang kini berusia 28 tahun.

Alex, yang kini seorang pelajar universiti, telah dicabul di sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor oleh seorang pelajar lelaki.

Kejadian berlanjutan selama tiga bulan dan Alex memilih untuk merahsiakan penderitaannya.

"Ia berlaku kepada pelajar lelaki lain juga. Dia (pesalah) memegang-megang kami ketika kami sedang tidur. Ada masanya dia cuba melakukan seks oral," kata beliau.

Akhirnya, seorang rakan melaporkan kes penderaan seksual itu kepada guru, bagi pihak mereka.

"Guru-guru cuba membantu. Kami telah disoal tetapi pada masa yang sama, saya merasakan bahawa mereka menyalahkan kami. Salah seorang guru berkata kami terlalu 'bersifat perempuan'," kata Alex.


Pesalah itu akhirnya menawarkan diri untuk meninggalkan sekolah dan kes itu telah ditutup.

Kes-kes yang sama telah muncul termasuklah laporan berita mengenai seorang guru dituduh mencabul kehormatan sembilan pelajar di Hulu Selangor awal tahun ini.


Seorang guru sekolah rendah di Pulau Pinang, yang hanya mahu dikenali sebagai Jasmine mendakwa mengenali rakan sekerja lelaki yang mencabul seorang murid Tahun Enam. Tertuduh akhirnya dipindahkan ke sekolah lain.

Baru-baru ini, Jasmine mendengar cerita bahawa beliau telah mencabul pelajar lain pula dan terpaksa dipindahkan sekali lagi.


Apabila polis menyoal mengenai latar belakang rakannya itu, beliau tidak dapat memberikan sebarang jawapan yang wajar.

"Kami kenal keluarganya. Beliau seorang yang baik," kata Jasmine.

Mengimbas kembali apa yang berlaku, Jasmine mengaku berasa bersalah kerana telah mempertahankan rakannya itu, sambil menambah: "Saya rasa seperti saya telah melindunginya."


Seorang lagi mangsa, Daryl, berkata beliau pernah didatangi oleh guru tadika wanitanya sementara menunggu ibu bapanya menjemputnya di sekolah.

Daryl, yang ketika itu berusia lima tahun, masih dapat mengingat dengan jelas bagaimana gurunya itu menanggalkan seluarnya di hadapannya dan memintanya menyentuh kemaluannya.


"Saya enggan tetapi dalam masa yang sama mempunyai perasaan ingin tahu. Saya mengambil masa bertahun-tahun untuk menyedari bahawa ia adalah satu serangan fizikal.

"Saya tidak pernah memberitahu ibu bapa saya. Sekarang saya berusia 20-an, saya rasa tidak perlu memberitahu sesiapa tentang apa yang berlaku," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) percaya kes-kes penderaan seksual di Malaysia kurang dilaporkan.

Mangsa-mangsa ini, katanya, berkemungkinan berdepan isu kepercayaan yang boleh menjejaskan hubungan mereka dengan orang-orang di sekeliling mereka.

Bergantung kepada tahap trauma, beliau berkata, beberapa mangsa mungkin mampu menjalani kehidupan normal walaupun mereka masih terkenangkan apa yang telah berlaku.

Pakar Kanan Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Datuk Dr Amar Singh telah berdepan dengan ramai mangsa kes ini.

"Kebanyakan kes ini terlalu berat untuk ditangani oleh kaunselor sekolah. Anak-anak ini perlu mendapatkan bantuan profesional," katanya.

Beliau menggesa ibu bapa untuk mengawasi tingkah laku anak-anak mereka seperti penurunan dalam prestasi akademik dan mangsa mungkin kelihatan murung atau tertekan.

"Mangsa sering dilihat sebagai memalukan keluarga. Kita perlu menghentikan pandangan ini," kata beliau sambil menambah mangsa memilih untuk mendiamkan diri kerana takut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman sebelum ini telah bercakap tentang keperluan untuk mempunyai Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak.

Artikel Sebelum

Artikel Lain