suria

Aktiviti 23 Individu Dikehendaki Esscom Lama Dipantau

Datuk Nur Jazlan Mohamed
JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri mengalu-alukan tindakan daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang mengeluarkan senarai 23 lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah rentas sempadan dan keganasan di Sabah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata aktiviti 23 individu ini telah dipantau sekian lama kerana disyaki mempunyai hubungan dengan penjenayah atau pengganas yang terlibat dalam operasi untuk menawan Lahad Datu beberapa tahun lepas.

"Tindakan seperti ini memerlukan kerjasama dengan rakyat supaya menghubungi pihak Esscom atau pihak polis jika mereka bertemu atau sekiranya mengesyaki salah satu daripada 23 individu ini berada di dalam khalayak mereka.

"Mereka ini adalah orang-orang yang berbahaya kerana memberi ancaman keselamatan kepada negeri Sabah dan kita sedang mengawasi sesiapa yang mempunyai hubungan dengan mereka ini, jika didapati ada pihak yang terlibat secara lansung dengan mereka kita akan ambil tindakan untuk memberkas mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Johor Future Run di Plaza Angsana, di sini, Sabtu.

Menurutnya lagi, kebanyakan daripada penjenayah rentas sempadan ini juga mempunyai akar umbi mereka di negeri Sabah menerusi pertalian kekeluargaan, dan rakan-rakan mereka yang telah berpindah ke negeri Sabah.

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa telah mengenal pasti hubungan-hubungan yang sedia ada ini dan akan sentiasa memantau keadaan.

Dalam pada itu, Nur Jazlan juga memaklumkan bahawa kes penyaluran dana Open Society Foundation (OSF) yang dipelopori oleh George Soros kepada beberapa organisasi tempatan termasuk Majlis Peguam, telah dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 10 tahun lepas.

"OSF ini memang telah menjalankan aktiviti ini lebih daripada 10 tahun dan kerajaan memang telah memantau kegiatan mereka selama ini tetapi kita belum mendapat apa-apa bukti kukuh yang mengatakan bahawa NGO di negara kita menjalankan aktiviti mengancam ketenteraman negara dengan saluran dana secara langsung dari OSF. Perkara ini masih dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan oleh NGO antarabangsa seperti ini adalah untuk menyalurkan dana kepada penganjuran aktiviti yang bersifat sosial.

"Secara zahirnya, mereka kononnya mahu melaksanakan aktiviti sosial dan memperjuangkan kesejahteraan alam sekitar tetapi jika kita dapati mereka berselindung di sebalik kegiatan ini kita akan ambil tindakan," katanya.

Artikel Lain