suria

MCA Terus Berkhidmat Kepada Masyarakat Cina

KUALA LUMPUR: MCA hanya menerima 15 peratus undi Cina pada pilihan raya umum lepas, tetapi ia tidak melemahkan pendirian parti, kata presiden parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, MCA terus bersama dengan kaum Cina dan teguh untuk berusaha dan berkhidmat kepada masyarakat.

Parti itu hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum sebelum ini.

Tiong Lai yang memegang pucuk pimpinan parti beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum 2013 berkata, parti itu berusaha keras untuk mengadakan dialog dari hati ke hati dengan persatuan-persatuan Cina, dan mengadakan sesi 'brainstorming" bersama-sama untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat.

Isu-isu tersebut di antaranya merupakan perkara-perkara berkaitan sosio-budaya, ekonomi dan pendidikan.

Menurut Tiong Lai, prestasi MCA dalam pilihan raya lalu adalah disebabkan gambaran yang salah daripada DAP.

"DAP mendapat kekuatannya dari memfitnah MCA dan mensensasikan isu-isu palsu," katanya ketika berucap pada hari pertama mesyuarat agung tahunan parti itu di sini, Sabtu.

Melihat ke depan, Tiong Lai mengingatkan Cina bahawa survival politik bergantung kepada sokongan rakyat.

"MCA, hanya tinggal 15 peratus sokongan pengundi Cina. Kita memerlukan pengundi Cina untuk menumpukan kuasa politik mereka dalam sistem kerajaan dengan memberi kuasa kepada MCA bagi memainkan peranan yang penting.

"Kita perlu memastikan kesederhanaan dalam kerajaan serta mempertahankan kepelbagaian kita dengan mengekalkan perpaduan dan keharmonian sosial," katanya.

Artikel Lain