suria

Dakwaan Pegawai SPRM Terlibat Penderaan Seksual Tak Benar

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mengenai pegawainya yang terlibat dengan penderaan seksual dan keganasan rumah tangga seperti tersebar di laman sosial Facebook sejak Khamis.

Sehubungan itu, SPRM menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat meminta orang ramai tidak  mempercayai tohmahan yang disebarkan itu.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan dan mendapati dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“SPRM amat prihatin dengan segala pandangan serta luahan masyarakat khususnya melibatkan pegawai SPRM namun meminta orang ramai supaya tidak mudah mempercayai segala tohmahan yang dimuat naik ke laman media sosial,” kata SPRM.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai perlu tampil kepada pihak berkuasa bagi menyiasat kesahihan berita itu sebelum menyebarkannya.

“SPRM sentiasa terbuka kepada orang ramai dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya mendapati mana-mana pegawai SPRM melanggar peraturan," katanya.

Suruhanjaya itu juga menganggap tidak adil apabila orang ramai melemparkan andaian negatif terhadap agensi berkenaan dengan mengaitkan isu-isu rumah tangga pegawai-pegawai dengan SPRM.

Sehubungan itu, laporan polis akan dibuat SPRM ke atas akaun Facebook yang menyebarkan video dan berita berhubung isu berkenaan.


SPRM, Facebook, penderaan seksual

Artikel Sebelum

Artikel Lain