suria

Kelindan Lori Didakwa Bunuh Abang

KUALA KANGSAR: Seorang kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Khamis atas pertuduhan membunuh abang kandungnya pada Oktober lalu.

Tertuduh, K. Sritharan, 39, didakwa membunuh K. Gopal, 42, di sebuah rumah yang beralamat di No. 35, Jalan 3, Taman Sri Permai, Padang Rengas dekat sini, kira-kira 9.30 malam pada 29 Oktober lepas.

Sritharan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai pakaian lokap berwarna oren mengangguk faham ketika  pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Tamil tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Majistret Noorhidayah Mohd Saad tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Disember ini untuk menunggu laporan bedah siasat, kimia dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusuf manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian 29 Oktober itu, mangsa maut akibat kecederaan di tengkuk dan kening selepas terkena serpihan kaca pinggan yang dibaling tertuduh setelah berlaku perang mulut. - BERNAMA

kelindan lori, kes bunuh

Artikel Sebelum

Ibu Rayu Lima Beradik Pulang

Artikel Berikut

Artikel Lain