suria

Wad Lelaki HRPB Dikosongkan Akibat Litar Pintas

IPOH: Wad 5B Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini terpaksa dikosongkan setelah berlaku litar pintas malam Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata litar pintas itu berlaku pada plug dinding katil di wad yang menempatkan pesakit lelaki kira-kira 11.16 malam.

Dr Noor Hisham berkata tiada sebarang kecederaan sama ada membabitkan pesakit atau kakitangan hospital dilaporkan berlaku.

"Pihak hospital telah memindahkan pesakit ke wad lain dan kajian keselamatan serta pendawaian sedang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P. Samasuvam memuji kepantasan serta kecekapan kakitangan hospital yang segera menutup bekalan elektrik dan gas ke wad berkenaan.

Katanya tindakan pantas itu penting kerana ia dapat mengelak percikan api akibat litar pintas menjadi lebih serius.

"Bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.17 pagi dan sebaik tiba tiga minit kemudian kami dapati pesakit telah dipindahkan.

"Selain itu, bomba turut menemukan kesan api yang dipadam pihak kakitangan menggunakan alat pemadam," katanya.

Katanya wad tersebut boleh digunakan dan beroperasi semula selepas kerosakan kecil dibaiki serta disahkan selamat oleh bahagian kejuruteraan hospital.

"Hasil pemeriksaan bomba, keadaan di wad itu selamat dan sekarang terserah kepada bahagian kejuruteraan untuk menentukan bila ia boleh dibuka semula," katanya.- BERNAMA

HRPB, litar pintas

Artikel Sebelum

Kelindan Lori Didakwa Bunuh Abang

Artikel Berikut

Artikel Lain