suria

Peguam Mengaku Tidak Bersalah Cabul Dua Pelajar

KAJANG: Seorang peguam berusia 33 tahun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan kerana mencabul dua pelajar universiti di kondominium Bandar Sungai Long pada minggu lalu.

Michael Anthony mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Majistret di sini, Selasa.

Dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatan, di mana didakwa meraba punggung Cristal Chua, 22.

Satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan kesalahan yang sama terhadap Tammy Ong, 20.

Kedua-dua insiden didakwa berlaku pada kira-kira pukul 3.30 petang 1 November lalu.

Peguam bela, Datuk Jerald Gomez berkata, ikat jamin dicadangkan sebanyak RM12,000 untuk kedua-dua pertuduhan adalah terlalu tinggi kerana tertuduh mempunyai rekod yang bersih sebelum ini.

"Tertuduh tidak pernah ditahan atau didakwa di atas sebarang kesalahan sebelum ini. Dia seorang lelaki yang berkahwin dan bahagia dengan rekod yang bersih," katanya.

Majistret, Fadzilatul Isma Ahmad Refngah kemudian menetapkan ikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan masing-masing berjumlah RM4,000 dan RM3,600, dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 9 Disember.


Artikel Lain