suria

'Perang' Jika Bersih 5 Diteruskan - Jamal

Peserta Baju Merah menunjukkan aksi pertahanan diri ketika menyertai tunjuk perasaan di depan pejabat Malaysiakini di Jalan Tandang pada 5 November 2016. -AZMAN GHANI / The Star

PETALING JAYA: Kumpulan gerakan Baju Merah akan 'berperang' dengan kumpulan Bersih dan mengadakan protes setiap hari jika kumpulan tersebut masih mahu meneruskan perhimpunan 19 November ini.

Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata kumpulan Baju Merah tidak akan berhimpun jika penyokong Bersih bersetuju melakukan tindakan sama.

"Kami akan mengisytiharkan perang terhadap Bersih dalam waktu terdekat ini.

"Tunggu. Mungkin ada protes setiap hari," kata Jamal kepada pemberita selepas hadir ke perhimpunan 'Selangkah Menuju Ke Hinpunan Raksasa 19 November, Mendepani Bersih 5', di pejabat portal berita Malaysiakini di Jalan Tandang di sini, Sabtu.

Jamal berkata demikian ketika ditanya tentang tindakan susulan yang akan diambil jika Bersih 5 tetap berkeras untuk meneruskan rancangan mengadakan perhimpunan walaupun telah diberi 'amaran' oleh Baju Merah.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata amaran bahawa permit tidak akan diberikan untuk kedua-dua kumpulan juga telah dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Kami sedia menarik balik kenyataan bahawa kami akan berhimpun jika Bersih juga berbuat demikian.

"Tapi kalau Bersih masih ingkar, degil , menghasut rakyat untuk turun ke jalanan dan berhimpun secara haram kami tak akan teragak-agak untuk turun sekali, walaupun akan berlaku pertembungan antara 'merah' dan 'kuning'," katanya sambil menegaskan ia adalah 'iltizam' Baju Merah. 

Perhimpunan pada Sabtu berlangsung kira-kira tiga jam dengan penyokong Baju Merah datang bersama sepanduk dan poster mendesak kerajaan menutup agensi berita Malaysiakini.

Mereka tidak mahu agensi berita itu terus menerima dana dan campur tangan asing, selepas pengurusan tertingginya pada Khamis mengakui menerima geran daripada Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan oleh jutawan George Soros. 

Perhimpunan berlangsung aman, dengan pihak polis mengawal ketat jalan-jalan sekitar dan bahagian hadapan pejabat Malaysiakini tanpa timbul sebarang kekecohan atau insiden tidak diingini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain