suria

Penguatkuasaan Kekang Penyeludupan Minyak Masak Lebih Mudah - Hamzah

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Tugas penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan minyak masak di sempadan menjadi lebih mudah selepas penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jika dahulu, penguatkuasa perlu memeriksa semua minyak masak yang dijual dalam botol seperti 5 kilogram (kg), 3kg dan 1kg.

Bagaimana katanya, penguatkuasaan kini lebih mudah kerana boleh menumpukan pemeriksaaan terhadap minyak masak paket 1kg.

"(Sebagai contoh) kalau di Golok (Kelantan), tak bermakna penguatkuasa tak boleh nak sekat lagi.

"Sebab caranya lebih mudah apabila kita dapat memastikan sasaran... barang-barang yang mereka akan bawa. Kalau dulu, banyak botol yang mereka lakukan (seludup)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program NH Korea@Pasarnita di Menara Mara di sini, Selasa.

Ditanya adakah pindaan undang-undang diperlukan, Hamzah berkata: "Undang-undang dah ada."

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Minggu lalu, susulan COSS, harga minyak masak paket 1kg kekal RM2.50 tetapi minyak masak dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November ini.

Hamzah berkata, penstrukturan semula minyak masak itu dilakukan berikutan kenaikan harga minyak sawit yang diproses (olein) dari RM2,341 satu tan pada Januari tahun lepas kepada hampir RM3,000 satu tan sekarang.

Artikel Lain