suria

Mahkamah Tinggi Benar Maria Chin Cabar Keputusan Imigresen

Maria Chin Abdullah
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa membenarkan permohonan kebenaran bagi semakan penghakiman difailkan pengerusi jawatankuasa pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil Elections (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah untuk mencabar keputusan Ketua Pengarah Imigresen melarangnya ke luar negara.

Semasa membenarkan permohonan itu, Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad berkata beliau memerintahkan Ketua Pengarah (KP) Jabatan Imigresen dan Menteri Dalam Negeri, dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu, membayar RM3,000 sebagai kos kepada Chin.

Dalam penghakimannya, beliau berkata permohonan dikemukakan China bukannya remeh-temeh dan semberono.

"Kami berminat untuk tahu daripada aspek perlembagaan Seksyen 59A Akta Imigresen (berkaitan) yang melarang orang awam melakukan perjalanan (ke luar negara)," katanya.

Chin, yang juga seorang aktivis, memfailkan permohonan bagi kebenaran itu pada 28 Julai untuk membatalkan perintah dibuat KP Imigresen dan pengisytiharan bahawa kedua-dua responden tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu dan sehubungan itu mereka telah bertindak melebihi bidang kuasa.

Dalam permohonannya, Chin berkata dia dimaklumkan tentang larangan perjalanan itu sejurus sebelum dia menaiki penerbangan untuk ke Korea Selatan pada 15 Mei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dia mendakwa pihak berkuasa telah gagal mengambil kira bahawa dia mahu pergi ke Korea Selatan untuk menghadiri satu persidangan hak asasi manusia dan menerima anugerah bagi pihak Bersih 2.0.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kedua-dua responden manakala peguam Gurdial Singh Nijar mewakili Chin.

Artikel Lain