suria

Siasatan Kes Seleweng Dana Projek Air Sabah Tidak Libatkan Ahli Politik - SPRM

PETALING JAYA: Siasatan kes penyelewengan dana awam projek infrstruktur Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bernilai RM3.3 bilion tidak melibatkan ahli politik di peringkat negeri itu atau kerajaan Pusat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, setakat ini, siasatan kes itu hanya menjurus kepada penglibatan pegawai-pegawai kerajaan yang menerima rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

"Setakat ini, ia tidak melibatkan mana-mana ahli politik samada di peringkat Negeri Sabah atau kerajaan persekutuan.

"Sehubungan itu SPRM meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu ini atau mengambil kesempatan terhadap siasatan yang sedang dijalankan bagi kepentingan masing-masing," kata kenyataan yang dikeluarkan petang Khamis.

Menurut kenyataan itu, kes ini melibatkan sejumlah dokumen perolehan yang banyak dan pegawai SPRM kini sedang giat meneliti semua dokumen yang dirampas.

Katanya, pihaknya juga memerlukan masa bagi menyelesaikan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"SPRM memandang serius perkara ini dan memberi jaminan siasatan dijalankan dengan telus dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak," katanya.

Sehubungan itu, suruhanjaya itu meminta masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini kerana ia boleh menjejaskan siasatan. 

Bagaimanapun, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil membantu siasatan.

Setakat ini, 24 ditahan termasuk 19 yang ditahan dalam operasi fasa kedua pada Rabu selain rampasan wang tunai RM4.2 juta dan beberapa akaun bank yang dibeku mencecah RM3.6 juta.

Lima suspek yang ditahan pada fasa pertama termasuk pengarah dan timbalan pengarah JANS, abang timbalan pengarah bergelar Datuk dan seorang akauntan serta penasihat Kementerian Kewangan Sabah yang juga bekas timbalan pengarah jabatan berkenaan.

Sebelum ini, sejumlah wang tunai, barang kemas, geran tanah, kenderaan mewah dan beg tangan bernilai lebih RM150 juta telah dirampas.

Suspek utama iaitu dua pegawai kanan awam itu disyaki memberikan kontrak kepada beberapa syarikat yang dimiliki adik-beradik mereka, menyebabkan kontraktor lain tidak mendapat projek air di Sabah bernilai RM3.3 bilion dari kerajaan Persekutuan.

Setakat ini, semua lima suspek yang ditahan reman telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.


SPRM, JANS

Artikel Lain