suria

Bunuh Tahanan: Dua Pegawai Imigresen Diperintah Bela Diri

PUTRAJAYA: Dua pegawai Imigresen diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan, di sini untuk membela diri atas tuduhan membunuh seorang tahanan warga Bangladesh pada 2014.

Mohd Aminnudin Mohd Yasin dan Zuhairul Effendy Zualkafli, kedua-duanya 34 tahun, mulanya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kangar pada 1 Oktober tahun lepas tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh Abu Bakar Siddique, 45 tahun.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan mereka dan memerintahkan kedua-dua mereka membela diri.

Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua mereka.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan keseluruhan keterangan saksi-saksi bahawa tahanan itu mati kerana kecederaan yang dialami akibat dipukul.

Hakim Tengku Maimun memerintahkan kedua-dua mereka direman sehingga kes itu selesai dan menetapkan 27 Oktober bagi sebutan kes di Mahkamah Tinggi Kangar.

Dua orang lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim.

Mohd Aminnudin dan Zuhairul Effendy dituduh membunuh warga Bangladesh yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, di pantri pejabat Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini antara 10 malam dan 11 malam pada 29 Oktober 2014.

Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pihak pendakwaaan sementara peguam Rahamathullah Baharudeen mewakili kedua-dua mereka.-- Bernama 

Mahkamah Rayuan, imigresen

Artikel Lain