suria

Ops Taring IV: 32 Haiwan Bernilai RM500,000 Dirampas

Anak kera berusia sebulan merupakan antara hidupan liar yang berjaya diselamatkan dalam operasi itu.

PUTRAJAYA: Sebanyak 32 haiwan daripada 19 spesies yang dijual secara dalam talian dengan nilai kira-kira RM500,000 dirampas Jabatan Perhilitan dalam Ops Taring IV di lima premis di tiga negeri pada Rabu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata serbuan dijalankan secara serentak melibatkan 25 anggota di tiga buah rumah dan dua kedai haiwan di kawasan Hulu Langat, Selangor; Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Kupang, Kedah.

Haiwan yang dirampas termasuk seekor anak harimau belang, seekor buaya jenis Dwarf Caiman, seekor tupai kerawak, seekor kucing batu, empat ekor anak kera, seekor binturong dan pelbagai jenis burung, katanya.

"Jenayah ini melibatkan orang tengah yang berperanan menyeludup hidupan liar melalui masyarakat yang tinggal di kawasan hutan bagi memenuhi kerakusan dan ketamakan golongan peniaga kedai haiwan," katanya dalam sidang media, di sini Khamis.

Menurutnya lima individu berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan.

Wan Junaidi berkata kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM150,000 dan tidak lebih RM500,000 serta penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan Rozidan Md Yasin berkata tangkapan dan rampasan itu dibuat susulan risikan selama tiga bulan terhadap 138 laman Facebook yang mengiklankan penjualan haiwan terancam.

"Kelima-lima suspek ini mempunyai kaitan antara satu sama lain. Mereka tidak simpan haiwan tersebut tetapi menjadi ejen dengan mengiklankan di Facebook dan jika ada pembeli, mereka akan hantar melalui bas," katanya.

Beliau berkata kesemua haiwan yang dirampas akan ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Selangor.

Dalam pada itu, Jabatan Perhilitan turut menahan seorang lelaki warganegara India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu kerana disyaki menyeludup bahagian hidupan liar dipercayai daripada spesies harimau belang yang diletakkan dalam enam bungkusan plastik. - BERNAMA




Artikel Sebelum

Artikel Lain