suria

Bedah Siasat Dapati Budak OKU Didera, Tiga Ahli Keluarga Ditahan

JOHOR BARU: Polis menahan tiga individu termasuk ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak lelaki kurang upaya (OKU) yang ditemukan mati di bilik air rumah mereka di Endau, Mersing, petang Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat pada Khamis berkata turut ditahan ialah abang kepada bapa tiri kanak-kanak itu.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka ditahan pada 4 petang Khamis di sekitar Endau selepas laporan bedah siasat kanak-kanak 11 tahun itu mendapati ada unsur penderaan.

"Hasil bedah siasat mendapati ada kesan penderaan pada anggota badan mangsa. Justeru itu, mereka disyaki terlibat dalam membuat penyeksaan terhadap mangsa," kata beliau dalam kenyataan, di sini, Khamis.

Kes itu kini diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan, kata Kamarul Zaman.

Pada kejadian petang Rabu, Mohamad Roshamnudin Abdullah didakwa ditemukan dalam keadaan terbaring dengan kakinya dihempap tong air di bilik air rumahnya oleh ibunya.

Kanak-kanak itu yang dibawa ke Klinik Kesihatan Endau disahkan telah meninggal dunia.

Pemeriksaan oleh doktor di klinik itu mendapati mangsa mempunyai kesan melepuh seperti terkena benda panas dipercayai api rokok, kata Kamarul Zaman.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Kamarul Zaman berkata pihaknya akan memohon perintah reman bagi ketiga-tiga suspek pada Jumaat. - BERNAMA

budak OKU, mati

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain