suria

Lelaki Rentung, Tiga Lagi Cedera Selepas Kenderaan Terbabas

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Seorang lelaki rentung manakala tiga lagi cedera apabila kereta Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di susur keluar Pasir Gudang, Lebuhraya E22 Senai-Desaru, dekat sini awal pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam DSP Norazam Shaari berkata kemalangan berhampiran Tol Cahaya Baru, Masai kira-kira pukul 5 pagi itu menyebabkan mangsa, Ang Keat Chuan, 46, yang memandu kereta terbabit menemui ajal akibat tersepit di tempat duduk ketika kereta itu mula terbakar.

Tiga mangsa lain, Tey Han Kong, 36, Yap Kok Seng, 46, dan T. Vijayakumaran, 37, hanya mengalami kecederaan ringan, kata Norazam.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu dari arah Pengerang menghala ke Pasir Gudang itu, cuba mengelak binatang yang tiba-tiba melintas, lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri, kemudiannya terbalik lalu menyebabkan kebakaran di bahagian enjin.

"Kita dapati kenderaan tersebut berada dalam keadaan terbalik dengan bahagian pemandu di bawah."

"Kesemua penumpang lain dapat menyelamatkan diri manakala pemandu yang tidak sedarkan diri sejurus selepas kemalangan, telah terperangkap dan terbakar bersama kenderaan," katanya dalam kenyataan malam Khamis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Mohd Rafi Mohd Nor berkata, empat anggota dan sebuah jentera dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5 pagi.

"Sebaik tiba, kita dapati kereta tersebut telah terbakar keseluruhannya dan seorang mangsa yang dalam keadaan tersepit, rentung di dalamnya," katanya.

Mayat Ang dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan, kata Mohd Rafi. - BERNAMA

rentung, kemalangan

Artikel Sebelum

Subsidi Minyak Masak Diteruskan

Artikel Lain